KUALA LUMPUR 1 Dis - Kapal ronda persisir pertama (OPV 1) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menampilkan aksi pertama apabila terlibat dalam Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023.
Eksesais ini melibatkan 15 buah kapal-kapal APMM lain termasuk aset udara.
OPV 1 pada masa sama sedang melakukan fasa ujian laut oleh pihak TH Heavy Engineering Berhad (THHE) dan ia kini belayar memasuki kawasan Pulau Pinang bersama-sama kapal lain.
Sepanjang pelayaran selama empat hari ini, OPV 1 menempuh jarak sepanjang 630 batu nautika perairan Selat Melaka bermula dari Pelabuhan Klang dan akan tiba di Pulau Langkawi.
Ini bagi menguji kemampuan sepenuhnya OPV1 sebelum ia diserahkan secara rasmi kepada APMM.
OPV 1 dengan nombor penant 8305 ini berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter berkeupayaan melakukan operasi di laut dalam jangka waktu maksimum 21 hari tanpa ulang bekal.
Ia dilengkapi dengan meriam utama 30mm Smash Aselsan, berkelajuan 21 knot dengan menggunakan fasiliti seperti tapak pendaratan helikopter, bot jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) serta bilik tahanan.
Kapal ini juga boleh membawa dron bagi tujuan semasa rondaan dan pengawasan maritim.
Perkembangan mutakhir OPV 1 ini dapat memberi gambaran bahawa kapal berkenaan akan diserahkan dalam masa terdekat.
Sebelum ini penyerahan OPV 1 tertangguh banyak kali disebabkan perkara berkaitan teknikal.
Kapal sepatutnya diserahkan pada Mac sebelum ditangguhkan pada Julai dan terbaharu 27 November lalu.
Jika mengikut kontrak asal yang mana OPV 1 sepatutnya diserahkan pada tahun 2020 setelah kontrak dianugerahkan pada 2017.
Penerimaan OPV 1 kelak menjadikan ia sebagai kapal paling moden dalam inventori APMM bagi memperkasakan peranan agensi penguatkuasaan maritim tersebut.
Dalam pada itu, Eksesais Maritim Perkasa Barat 6/2023 melibatkan 500 pegawai dan anggota merupakan kesinambungan latihan sama yang diadakan di kawasan perairan Sabah dan Sarawak.
Ia melibatkan tiga fasa latihan bermula dengan fasa pelabuhan iaitu sesi taklimat siri latihan dan sesi perbincangan taktikal.
Seterusnya ialah fasa Laut yang mana aset-aset terlibat akan melakukan pelayaran dari Perairan Klang ke Pulau Langkawi.
Fasa terakhir ialah penutup eksesais di Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Langkawi bagi melihat pencapaian dan penambahbaikan untuk edisi akan datang.
Eksesais Maritim Perkasa Barat bertujuan memberi pendedahan kepada warga APMM mengikut sepertimana situasi operasi sebenar.
Pelaksanaan eksesais dipantau oleh Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin bersama pegawai-pegawai kanan APMM yang lain.- DagangNews.com