Orang kaya terus buru aset di sebalik kebimbangan COVID-19 - MIER | DagangNews Skip to main content

Orang kaya terus buru aset di sebalik kebimbangan COVID-19 - MIER

ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]


KUALA LUMPUR 21 Okt. - Di sebalik kebimbangan penularan pandemik COVID-19 yang memasuki gelombang ketiga di Malaysia ketika ini, sektor harta tanah masih menjadi buruan mereka yang kedudukan kewangannya stabil. 

Ini berdasarkan laporan Kaji Selidik Sentimen Pengguna yang dikeluarkan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) yang mendapati 15% daripada isi rumah meletakkan pembelian rumah paling teratas dalam senarai membeli-belah mereka, meningkat 3% berbanding suku sebelumnya. 

"Dalam kalangan isi rumah ini, pastinya golongan berpendapatan tinggi sangat teruja kali ini. 

"Apatah lagi, kadar faedah tidak naik dan ini memberi kelebihan untuk mereka yang stabil memburu hartanah tidak lama lagi," katanya dalam laporan yang dikeluarkan hari ini. 

Namun, menurut laporan itu, walaupun pengguna di bandar lebih berminat untuk membeli rumah dalam masa terdekat, tetapi tidak kurang juga bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.

"Didapati 14% daripada penduduk di luar bandar berharap untuk membeli rumah dalam tempoh terdekat, meningkat daripada 9% pada suku kedua 2020 dan 11% pada suku ketiga 2019," ujarnya. 

Laporan itu juga menunjukkan, isi rumah terus berminat membeli kenderaan baharu dalam beberapa bulan akan datang, dengan meningkat 11% berbanding 9% pada suku sebelumnya. 

"Mereka yang berpendapatan tinggi, tinggal di kawasan bandar dan bahagian timur paling banyak menyatakan hasrat untuk membeli kenderaan baharu. 

"Bagi golongan berpendapatan rendah, yang tinggal di kawasan bandar dan bahagian timur pula lebih cenderung membeli kereta terpakai," katanya. 

Selain rumah dan kenderaan, pembelian komputer peribadi juga menjadi pilihan utama dalam kalangan isi rumah, dengan meningkat kepada 11% pada suku ketiga ini berbanding 8% pada suku kedua dan 6% pada suku ketiga 2019. 

"Responden turut berminat untuk membeli mesin basuh, peti ais dan periuk nasi dengan kebanyakannya dari golongan berpendapatan rendah di kawasan bandar.

"Tetapi ia berbeza bagi pembelian televisyen dan perabot yang semakin berkurangan berbanding suku sebelumnya," katanya. 

Berdasarkan laporan itu, indeks sentimen pengguna (CSI) MIER meningkat sedikit pada 91.5 mata berbanding 90.1 pada suku sebelumnya memandangkan pengguna masih berhati-hati terhadap wabak tersebut. 

"Dengan berada di bawah penanda aras 100 mata, ini secara tidak langsung menunjukkan tahap keyakinan pengguna masih lagi kurang terhadap kesejahteraan ekonomi mereka sepanjang tahun ini," jelas laporan itu.

Dari segi peluang pekerjaan pula, ia masih kekal mengecewakan dengan 63% responden berpendapat peluang pekerjaan masih berkurangan berbanding 62% pada suku kedua dan 52%, suku ketiga 2019. 

Malah, mereka juga berpendapat, pasaran buruh kekal suram sekurang-kurangnya bagi tempoh enam bulan. - DagangNews.com