KUALA LUMPUR, 26 Okt. - Demi mengekang penularan wabak COVID-19 dan melindungi para pelajar dan tenaga kerja di sekolah, Telekom Research & Development Sdn Bhd (TM R&D) terus memperluaskan penggunaan solusi digital dalam sektor pendidikan menerusi pelaksanaan Early Warning, Alert & Response (EWAR) di sebuah sekolah swasta, Orbix International School di Muar, Johor baru-baru ini.
EWAR yang dibangunkan oleh pakar-pakar di TM R&D merupakan kemudahan digital bagi mempercepatkan proses saringan suhu dalam kalangan pelajar, guru dan pelawat di institusi pendidikan tersebut.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TM R&D, Dr. Sharlene Thiagarajah, jalinan kerjasama dengan institusi pendidikan seperti Orbix merupakan usaha syarikat untuk memanfaatkan solusi yang kos efektif dan inovatif seiring dengan keperluan protokol keselamatan yang ditetapkan.
"Inisiatif ini menggambarkan fleksibiliti dan kesediaan vertikal pendidikan dalam menyesuaikan diri dengan normal baharu dan kami di TM R&D sentiasa bersedia membantu semua perniagaan dan organisasi untuk bangkit dengan selamat," kata Dr. Sharlene dalam satu kenyataan hari ini.
Pemasangan EWAR Compact di sekolah-sekolah dan institusi pendidikan lain diyakini dapat memberi para pelajar dan guru pengalaman kembali ke sekolah seperti apa yang dirasai sebelum ini.
Sebagai solusi saringan individu tanpa sentuh yang dipacu oleh kuasa kecerdasan buatan (AI), EWAR Compact berupaya memberi keteepatan imbasan antara +/- 0.3 darjah Celcius, kelajuan pengesanan (lebih kurang sesaat) dan arahan suara.
Selain itu, solusi ini juga memudahkan proses pengecaman wajah dengan pantas, sekali gus membolehkan para pelajar dan guru kembali ke sekolah tanpa sebarang kerisauan terhadap kesihatan mereka.
"Pendedahan kepada EWAR Compact juga memberi pelajar peluang untuk merasai pengalaman dan manfaat pendigitalan secara langsung sebelum mereka memasuki alam pekerjaan selain membantu mempersiap barisan bakat terbaik industri yang bakal mendorong aspirasi digital negara dan menepati peranan Kumpulan TM sebagai pemacu Digital Malaysia," jelasnya.
Beliau menambah, penggunaan EWAR Compact seiring dengan protokol keselamatan yang harus dipatuhi oleh pihak sekolah yang sentiasa mencari kaedah dan teknologi terbaik bagi melindungi dan menjaga kesihatan pelajar dan tenaga kerjanya.
"Setakat ini, kami telah menerima maklum balas positif tentang kecekapan pengesanan suhu EWAR Compact ini dan para pelajar juga melahirkan rasa gembira dengan elemen interaktif yang diperkenalkan kepada sekolah ini," kata Ketua Pegawai Pemasaran Orbix Education, Govindan Nair.
Selain Orbix Education, TM R&D juga telah memperluaskan pemasangan EWAR Compact di 12 buah sekolah terpilih di Bangsar dan Pudu seperti Victoria Institution, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Lokman, SMK Seri Saujana, SMK Desa Petaling, SMK Cochrane, SMK Taman Maluri dan SMK Bukit Jalil. - DagangNews.com