Organisasi besar lebih bersedia hadapi serangan siber | DagangNews Skip to main content

Organisasi besar lebih bersedia hadapi serangan siber

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 8 Dis -  Organisasi besar dijangka lebih berwaspada dan lebih bersedia pada tahun hadapan bagi menangani serangan siber, menggunakan pendekatan komprehensif, proaktif, mengutamakan perkhidmatan awan untuk mengurangkan risiko siber. 

 

Menurut Laporan Ramalan 2022 yang dikeluarkan syarikat perisian keselamatan siber multinasional Amerika-Jepun Trend Micro, penyelidikan, pandangan jauh dan automasi adalah penting bagi organisasi mengurus risiko dan menjamin tenaga kerja mereka.

 

Ia berkata, Trend Micro telah berjaya menyekat 40.9 bilion ancaman e-mel, fail dan URL berniat jahat untuk pelanggan pada separuh pertama 2021, peningkatan 47% tahun ke tahun (yoy). 

 

Di Malaysia, Trend Micro berkata ia mengesan dan menyekat 232,701,368 serangan, di mana lebih separuh terdiri daripada ancaman e-mel, mencatatkan peningkatan 24% yoy dalam tempoh yang sama.

 

Ketua Pegawai Operasi Trend Micro, Kevin Simzer berkata. firma itu mempunyai ramai penyelidik keselamatan siber di seluruh dunia, dan cerapan serta penemuan tersebut digunakan secara meluas dalam industri dan memperkasakan penawaran produknya sendiri. 

 

"Pasukan ini menguasai sebahagian besar perisikan ancaman yang kami terkenal," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya,penyelidik Trend Micro meramalkan bahawa pelaku ancaman tahun depan akan memfokuskan serangan perisian tebusan pada awan dan beban kerja pusat data dan perkhidmatan terdedah untuk mengambil kesempatan daripada sejumlah besar pekerja yang terus bekerja dari rumah.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Trend Micro untuk Malaysia dan Negara Nascent, Goh Chee Hoh berkata, pasukan keselamatan siber di Malaysia telah menghadapi beberapa tahun yang sukar berikutan perubaha cara bekerja dari rumah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan serta cabaran serangan korporat muncul dengan mendadak.

 

 "Bagaimanapun, apabila kerja hibrid muncul dan lebih banyak kepastian kembali dari hari ke hari, pemimpin keselamatan akan dapat merancang strategi yang mantap untuk menutup jurang," katanya.

 

Laporan itu juga mendedahkan, menjelang 2022, ancaman yang muncul akan terus menguji daya tahan rantaian bekalan di seluruh dunia. -DagangNews.com