Oriental Interest, TTDI Land meterai perjanjian bina unit komersial dan kediaman di Klang | DagangNews Skip to main content

Oriental Interest, TTDI Land meterai perjanjian bina unit komersial dan kediaman di Klang

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Dis - Oriental Interest Bhd telah memeterai perjanjian dengan TTDI Land Sdn Bhd untuk bersama-sama membangunkan tanah 22 hektar di Klang menjadi unit komersial dan kediaman.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, di bawah perjanjian itu, anak syarikatnya, Total Majority Sdn Bhd, telah memperoleh hak untuk membangunkan projek di atas tanah itu dan menjual unit tersebut kepada pembeli akhir.

 

Pemaju hartanah itu berkata TTDI Land sebagai pemilik tanah berhak menerima bayaran RM150 juta.

 

“Pembangunan itu selaras dengan perancangan strategik kumpulan untuk memanfaatkan kekuatannya dalam pembangunan dan pembinaan hartanah untuk bekerjasama dengan rakan usaha sama dan pemilik tanah bagi kejayaan pelaksanaan projek yang difikirkan,” katanya.

 

Orientel Interest berkata ia berhasrat untuk membiayai kos pembangunan, yang dijangka siap menjelang 2034, menggunakan dana yang dijana secara dalaman atau pinjaman bank.

 

Saham Oriental Interest setakat pukul 9:25 pagi ini kekal pada RM1.21, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran RM562 juta.  - DagangNews.com