KUALA LUPUR 14 Jun - Pengendali rangkaian kafe berkonsepkan kedai kopi Hainan, Oriental Kopi Holdings Bhd, telah mengemukakan prospektus awal bagi tawaran awal permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
IPO tersebut melibatkan penerbitan 418.1 juta saham biasa baru.
Menurut draf prospektus yang difailkan kepada Bursa Malaysia, 60 juta saham diperuntukkan untuk pelabur awam Malaysia, manakala 20 juta saham diperuntukkan kepada pengarah, pekerja, dan penyumbang yang layak.
Sebanyak 88.1 juta saham akan ditawarkan kepada pelabur terpilih, dengan 250 juta saham yang diperuntukkan untuk penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan di bawah pengawasan Kementerian Pelaburan, Perdagangan, dan Industri (MITI).
Oriental Kopi berkata, dana yang diperolehi dari IPO akan digunakan untuk menubuhkan ibu pejabat baharu, dapur pusat dan gudang.
Kafe syarikat itu yang kini tertumpu di Lembah Klang dan Johor juga bakal diperluaskan ke pelbagai negeri.
Selain itu, syarikat itu bercadang menggunakan hasil tersebut untuk menubuhkan empat kedai runcit khas di kawasan tengah Semenanjung Malaysia dan Johor, dalam tempoh 24 bulan dari tarikh penyenaraian antara tahun 2025 dan 2026.
"Pengendalian kedai-kedai khas dijangka meningkatkan kesedaran jenama secara keseluruhan untuk manfaat rangkaian kafe kami, yang dapat mempersembahkan rangkaian makanan bungkusan jenama pengguna kami sepenuhnya untuk memenuhi keperluan pelancong domestik dan asing," katanya.
Oriental Kopi juga merancang menggunakan hasil tersebut untuk meningkatkan segmen produk makanan bungkusan, menjalankan aktiviti pemasaran di pasaran antarabangsa dan memperkukuhkan modal kerja.
"Untuk memperluas jangkauan kami di pasaran luar bagi makanan bungkusan, kami akan mengambil bahagian secara aktif dalam pameran dan acara makanan dan minuman (F&B)," katanya.
Syarikat itu mengumumkan bahawa kafe Oriental Kopi pertamanya di Singapura dijadualkan untuk memulakan operasi pada suku keempat tahun 2024 (4Q24).
Alliance Islamic Bank Berhad beertindak sebagai penaja bagi IPO tersebut. - DagangNews.com