OSK catat untung sebelum cukai RM555 juta pada FY23, meningkat 14% | DagangNews Skip to main content

OSK catat untung sebelum cukai RM555 juta pada FY23, meningkat 14%

Ong Leong Huat (lima dari kiri) bersama pengurusan tertinggi OSK Holdings Berhad menunjukkan Laporan Tahunan selepas Mesyuarat Agung Tahunan OSK Ke-34 hari ini.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 18 April - OSK Holdings Berhad mencatat untung sebelum cukai sebanyak RM555.1 juta pada tahun kewangan 2023 (FY23), meningkat 14% berbanding setahun sebelumnya.

 

Pendapatan Kumpulan OSK pada FY23 pula sebanyak RM1.6 bilion, meningkat 20% berbanding tempoh sama tahun lalu yang berjumlah RM1.3 bilion.

 

Dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) OSK ke-34 hari ini, pemegang saham bersetuju meluluskan dividen akhir tunggal sebanyak 4 sen setiap saham biasa,.

 

Pemegang saham juga mengundi semula pengarah-pengarah yang bersara dan melantik semula juruaudit syarikat untuk tahun yang akan datang.

 

OSK dalam kenyataannya berkata, prestasi FY23 menandakan pencapaian bersejarah sama ada bagi pendapatan mahu pun keuntungan sejak 2014.

 

Pengerusi Eksekutif Kumpulan OSK, Tan Sri Ong Leong Huat berkata, keyakinan pertumbuhan diperkukuhkan oleh segmen hartanah Kumpulan yang konsisten.

 

Begitu juga katanya dengan segmen perkhidmatan kewangan Kumpulan yang berkembang dengan berterusan dan perluasan segmen industri Kumpulan dalam pasaran domestik dan eksport.

 

"Sepanjang kami melaksanakan strategi jangka panjang bagi Kumpulan, adalah penting untuk menggunakan pendekatan yang berdisiplin dan konsisten terhadap pengurusan kunci kira-kira dan pelaburan, serta meneruskan usaha untuk meningkatkan operasi supaya kami kekal berdaya saing dalam pasaran yang sengit," katanya.

 

Leong Huat juga menekankan optimisme yang tinggi terhadap pertumbuhan lestari dalam jangka panjang.

 

Beliau menyatakan komitmen untuk melaksanakan strategi yang dirancang dengan teliti dan memberi tumpuan kepada pencapaian pulangan risiko yang baik untuk semua pemegang saham.

 

"Meski pun dinamik pasaran yang kompleks dan cabaran global yang pelbagai, kami akan memastikan visi dan matlamat yang sama akan dipegang sepanjang perjalanan ke arah kemajuan," ujarnya. - DagangNews.com