KUALA LUMPUR 1 Sept - Saham CIMB Group Holdings Bhd. menokok lebih 2% dalam dagangan pagi ini selepas kumpulan perbankan itu merekodkan prestasi kewangan separuh pertama mengatasi jangkaan.
Setakat 10.12 pagi, ia menduduki 10 kaunter paling untung dengan meningkat 13 sen atau 2.42% kepada RM5.50 dengan 7.34 juta saham diniagakan.
Menurut Kenanga Research, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) teras pada separuh pertama sebanyak RM2.71 bilion dan dividen 13 sen adalah melebihi jangkaannnya memandangkan pendapatan disokong pendapatan bukan faedah teras (NOII) yang lebih baik daripada jangkaan.
Katanya, walaupun ia masih merosot pada asas tahun ke tahun, tetapi kuantum itu kurang memberangsangkan disebabkan hasil dagangan yang lebih baik dalam operasi Indonesia dan Thailand.
"Kumpulan mengukuhkan panduan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) tetapi berpendapat ketidaktentuan masih wujud daripada kemungkinan gangguan global.
"Namun, kami percaya trajektori semasa memihak kepada kumpulan yang mencerminkan operasi serantaunya yang berpotensi mengimbangi kesukaran," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : CIMB catat untung RM3.1 bilion pada separuh pertama, optimis lepasi sasaran FY22
CIMB merekodkan untung bersih teras sebanyak RM3.1 bilion pada separuh pertama berakhir 30 Jun 2022, meningkat 18.4% daripada RM2.62 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi positif itu dipacu pendapatan operasi yang lebih tinggi, mengandungi peningkatan kos serta peruntukan yang lebih rendah merentasi pasaran utama.
Secara keseluruhan, Kenanga Research mengekalkan pandangan 'outperform' untuk CIMB dengan harga sasaran disemak lebih tinggi kepada RM6.05 daripada RM5.70 sesaham sebelum ini.
Dengan hasil yang diraih baru-baru ini, firma itu berkata, kumpulan berpendapat ia boleh mengatasi panduan awalnya, iaitu dari segi pulangan atas ekuiti (ROE), pertumbuhan pinjaman dan kos kredit.
Susulan itu, ia menyemak naik unjuran pendapatan bagi FY22 dan FY23 masing-masing sebanyak 8% dan 3% selepas mengambil kira aggaran NOII yang lebih tinggi daripada operasi yang kukuh di Indonesia dan Thailand. -DagangNews.com