Oz Ahmed kini CEO Al Rajhi Malaysia | DagangNews Skip to main content

Oz Ahmed kini CEO Al Rajhi Malaysia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 16 Feb. - Arsalaan Ahmed atau lebih dikenali sebagai Oz telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Al Rajhi Banking & Investment Corp (M) Berhad (Al Rajhi Malaysia).

 

Al Rajhi Malaysia merupakan anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh bank Islam terbesar di dunia dari segi aset, Al Rajhi Bank Arab Saudi (KSA).

 

Bank itu menerusi sebuah kenyataan berkata, Arsalaan yang berpengalaman dalam perkhidmatan kewangan menggantikan Steve Chen dan akan memikul tanggungjawab itu dengan segera.

 

“Susulan pengunduran Chen selepas tamatnya kontrak beliau pada November 2020, Ketua Pegawai Operasi, Zarir Mohd. Rawi telah bertindak sebagai pemangku CEO.

 

“Arsalaan, juga dikenali sebagai Oz, pemimpin pemikiran terbilang dan terkenal dalam industri perbankan dan kewangan Islam, membawa bersama beliau pengetahuan dan pengalaman dengan lebih 15 tahun kerjaya perbankan beliau dalam perbankan runcit, korporat dan pelaburan dan pasaran,” jelas kenyataan itu.

 

Arsalaan pernah dianugerahkan industri global untuk Islamic Banker of the Year pada tahun 2018 dari The Asset.

 

Sebelum ini, Arsalaan memegang jawatan sebagai CEO di  HSBC Amanah Berhad dan berpengalaman memegang jawatan tinggi di bank-bank merentasi Eropah, Timur Tengah dan Asia.

 

“Dengan pelantikan Arsalaan, KSA berharap dapat memberikan kepemimpinan baharu untuk melaksanakan strateginya dengan jayanya dan memanfaatkan peluang pasaran untuk mengembangkan perniagaan perbankan Islamnya di Malaysia serta memanfaatkan kekuatannya sebagai salah satu bank terbesar di dunia,” tambah bank itu. – DagangNews.com