PA Resources beli tanah di Kuala Selangor berharga RM21 juta untuk bina kilang baharu | DagangNews Skip to main content

PA Resources beli tanah di Kuala Selangor berharga RM21 juta untuk bina kilang baharu

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Feb - PA Resources Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, P.A. Extrusion (M) Sdn Bhd mencadangkan untuk memperoleh dua bidang tanah perindustrian berkeluasan 72,840 meter persegi, bersamaan dengan 7.28 hektar.

 

Syarikat itu berkata, kedua-dua bidang tanah itu yang terletak di sekitar kilang sedia ada di Batang Berjuntai, Kuala Selangor, akan diperoleh dengan jumlah pertimbangan sebanyak RM21 juta, untuk dibiayai melalui dana jana dalaman dan pinjaman bank. 

 

Katanya, pengambilalihan itu dijangka siap dalam tempoh 6 bulan. 

 

"Setelah selesai pengambilalihan, P.A. akan membina sebuah kilang baharu di tanah tersebut, yang akan menggandakan kapasiti pengeluarannya, secara berperingkat daripada 3,200 tan sebulan kepada kira-kira 7,000 tan," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Pengerusi Eksekutif Kumpulan PA Resources, Tan Sri Chan Kong Choy berkata, pihaknya berbesar hati untuk mengumumkan pelan pengembangan itu, yang bersesuaian dengan strategi pertumbuhan jangka panjang kumpulan. 

 

"Dengan kilang baharu ini, kami akan dapat menandingi permintaan yang semakin meningkat daripada pelanggan tenaga boleh diperbaharui. Selain itu, kapasiti yang diperluaskan ini membolehkan kami mempelbagaikan kedua-dua rangkaian produk dan pasaran, justeru memberikan kumpulan dengan aliran pendapatan tambahan. 

 

"Dengan mengambil kira objektif ini, kami menyasarkan untuk mempercepatkan proses pengambilan tanah dan segera memulakan pembinaan kilang baharu. Kami yakin pelaburan ini bukan sahaja akan meningkatkan kapasiti pengeluaran tetapi juga menyumbang pertumbuhan ekonomi kepada negara. 

 

 

paresources
Tan Sri Chan Kong Choy

 

 

"Inisiatif ini juga menjanjikan peluang pekerjaan jangka panjang yang mampan dan memajukan pembangunan sosioekonomi dalam komuniti tempatan di rantau itu," katanya.

 

Pengarah Urusan Kumpulan PA Resources, Tan Sri Lau Kuan Kam pula berkata, permintaan yang semakin meningkat untuk tenaga solar dan boleh diperbaharui kekal menjanjikan. 

 

 

paresources
Tan Sri Lau Kuan Kam

 

 

"Kami berbangga kumpulan berada dalam kedudukan untuk menyumbang kepada pertumbuhan tenaga hijau dengan menyediakan komponen yang ringan, tahan lama dan bahan kos efektif untuk panel solar," katanya. - DagangNews.com