Padini kurang telus dalam langkah asas kelestarian, data pelepasan karbon – Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Padini kurang telus dalam langkah asas kelestarian, data pelepasan karbon – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 24 Nov - Maybank Investment Bank (Maybank IB) berpendapat bahawa Padini Holdings Berhad kekurangan ketelusan dalam langkah asas kelestarian dan data pelepasan karbon.

 

Tambahnya, ini menyukarkan pelabur membuat kesimpulan tentang pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat. 

 

Menurut firma penyelidikan itu, skor ESG Padini jatuh di bawah purata pada 40 (daripada 100) berdasarkan metodologi pemarkahan ESG proprietari firma itu. 

 

"Kelemahan utama kepada skor ESG kumpulan timbul daripada skor rendah parameter kualitatifnya iaitu 29 (50% berat), terutamanya berhubung kekurangan data pelepasan alam sekitar kerana Padini tidak menerbitkan pelepasan skop 1, 2, dan 3. 

 

"Skor parameter kualitatif Padini juga berada pada tahap rendah 33 (25% berat) kerana sasaran ESG masih belum dimasukkan ke dalam petunjuk prestasi utama (KPI) pengurusan kanan utama dan neutraliti karbon tidak menjadi sebahagian daripada sasaran kelestarian jangka panjangnya," ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut Maybank IB, Padini telah komited kepada sasaran jangka panjang berhubung pengurangan penggunaan elektrik, sifar isu ketidakpatuhan undang-undang alam sekitar dan sifar kemalangan di tempat kerja. 

 

Bagaimanapun, firma itu berkata komitmen penting bagi industri runcit fesyen pantas masih belum ditangani, seperti mengurangkan pengeluaran pelepasan karbonnya, yang pada masa ini tidak disediakan secara terbuka.

 

Selain itu, kumpulan itu belum mengurangkan sumbangan tapak pelupusan sampah dan belum mempunyai sasaran untuk meningkatkan sumber bahan boleh diperbaharui untuk pakaian.

 

"Selain ESG, prospek Padini kekal positif. Kami percaya kumpulan berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada trend peralihan pengguna kepada jenama murah berikutan tekanan inflasi yang berterusan. 

 

"Pangkalan pengguna pasaran massa dan rangkaian produk mampu milik syarikat sebahagiannya akan melindungi kesan daripada persekitaran perlahan dalam perbelanjaan pengguna," tambahnya.

 

Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM5.25 berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) FY24 sebanyak 15 kali.  - DagangNews.com