KUALA LUMPUR 10 Sept. - Kerajaan negeri Pahang bakal membuka tender bernilai RM18 juta pada hujung bulan ini bagi mengatasi masalah air keruh di Raub.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (gambar) berkata, projek itu merangkumi pelantikan jurutera perunding, kerja ukur dan penyiasatan tanah.
Skop utama pula melibatkan pembinaan tangki pra-enapan, penggantian pam dan peralatan elektrik.
Projek itu dijangka mengambil masa sehingga 15 bulan dan melibatkan tiga buah loji rawatan air (LRA) Raub.
“Reka bentuknya akan mengambil kira kekeruhan air mentah hingga setinggi 20,000 NTU (Nephelometric Turbidity Unit)," katanya menurut laporan Bernama.
Projek itu diharapkan dapat membantu mengatasi masalah gangguan bekalan air di daerah berkenaan.
Sebelum ini, LRA Sungai Bilut, LRA Sungai Semantan dan LRA Sungai Klau terpaksa menghentikan operasi sementara susulan kekeruhan sumber air mentah yang terlalu tinggi.
Tahap kekeruhan air mentah itu tidak sesuai diproses kerana tidak mencapai kualiti air yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.
Sehubungan itu, Wan Rosdy pada April lalu mengumumkan peruntukan RM18 juta bagi membantu penduduk Raub mengatasi masalah bekalan air yang telah dialami selama beberapa tahun. - DagangNews.com