Pakar Bioteknologi dan Sains Biomolekul UPM saran penggunaan daging kultur atasi kekurangan bekalan | DagangNews Skip to main content

Pakar Bioteknologi dan Sains Biomolekul UPM saran penggunaan daging kultur atasi kekurangan bekalan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Julai - Penghasilan daging kultur merupakan alternatif terbaik untuk mengatasi krisis kekurangan bekalan daging dan ayam pada masa hadapan.

 

Kekurangan bahan asas jagung dalam pembuatan makan haiwan ternakan menjadi punca kepada kekurangan bekalan serta kenaikan harga ayam dan daging di seluruh dunia.

 

Pensyarah Jabatan Biologi Sel dan Molekul, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Nik Mohd. Afizan Nik Abd. Rahman berkata, daging kultur adalah alternatif yang menjanjikan untuk menggantikan daging atau sekurang-kurangnya melengkapkan pemakanan protein manusia.

 

Sebagai contoh katanya, sebuah syarikat pemula dari Israel, Future Meat telah membuka sebuah kilang pada 2021 dengan kapasiti penghasilan 500 kilogram (kg) produk berasaskan daging setiap hari dan pada masa sama mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sekitar 80%, pengunaan tanah 99% dan penggunaan air 96%.

 

“Melalui teknologi terkini juga, kebimbangan utama dalam industri ini iaitu kos dapat dikurangkan sebanyak 1,000 kali ganda berbanding tiga tahun sebelumnya. 

 

"Selain itu, terdapat banyak syarikat lain sedang membangunkan teknologi dan mendapat kelulusan untuk menghasilkan dan mengkomersialkan daging kultur di seluruh dunia antaranya MosaMeat (Belanda), SuperMeat (Israel), Avant Meat (China), Appleton Meats (Kanada), Higher Steaks (UK), Integriculture Inc. (Jepun), dan Shiok Meat (Singapura),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Nik Mohd Afizan berkata, penghasilan daging secara kultur memaparkan tahap penerimaan dan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap daging kultur.

 

Katanya, daging kultur juga dilihat mempunyai potensi besar untuk menggantikan rantaian pengeluaran daging haiwan secara konventional serta memberi  kelebihan dan kebaikan kepada ekonomi, sosial dan alam sekitar.

 

“Kerajaan boleh membuat polisi dan dasar berkaitan yang menjurus ke arah mempromosikan kelebihan daging kultur bagi memudahkan ekosistem keusahawanan yang positif untuk inovasi ini berkembang dengan selamat dan berfaedah kepada masyarakat,” katanya. - DagangNews.com