Pakar penjenamaan dan pemasaran F&B, BROKU berusaha kumpul dana RM20 juta bagi perkasakan PMKS | DagangNews Skip to main content

Pakar penjenamaan dan pemasaran F&B, BROKU berusaha kumpul dana RM20 juta bagi perkasakan PMKS

Sam Shafie, CEO & Penyelaras Pengasas PitchIN (kiri) dan Ku Addyfazly, Pengasas Broku semasa pengumuman kempen pengumpulan dana
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 12 Jun – BROKU, pakar strategi penjenamaan dan pemasaran makanan dan minuman (F&B) di Malaysia, berusaha mengumpul dana sebanyak RM20 juta bagi menyokong pengembangannya untuk tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.

 

Menurut laporan Retail Group Malaysia, kiosk dan gerai F&B di Malaysia menunjukkan pertumbuhan ketara sebanyak 13.5% sepanjang 2023.

 

Ini sejajar dengan misi BROKU untuk menyokong dan memacu pertumbuhan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) F&B di Malaysia.

 

Di samping itu, BROKU juga melancarkan produk utamanya, Broku.com, sebuah platform pasaran digital khusus bagi industri F&B yang menggunakan teknologi berasaskan data untuk menjana penglibatan pengguna dan memacu trafik ke kedai mereka.

 

Setakat ini, BROKU telah membantu mentransformasi perniagaan kira-kira 10,000 restoran. Malah, ia berjaya meraih dana tambahan yang berjumlah RM2.566 juta setakat ini, melalui pelabur tidak formal.

 

Ini akan membolehkan BROKU mengembangkan kapasiti pasukannya di Malaysia, serta menyalurkan sumber kepada inisiatif-inisiatif lain seperti pemasaran, strategi menarik pelanggan, kos teknologi, dan penambahbaikan operasi yang lain.

 

Sehubungan itu, BROKU bukan sahaja dapat menyalurkan dana tambahan ini kepada rangkaian restoran rakan kongsinya, tetapi juga menggunakannya untuk memperkasakan perbelanjaan pemasarannya.

 

Ini akan membolehkan BROKU mengukuhkan infrastruktur teknologinya serta mengembangkan rangkaian restoran rakan kongsinya. BROKU menyasarkan untuk mencapai penyenaraian lebih 50,000 rakan niaga di platform Broku.com dalam tempoh 12 bulan.

 

 

broku

 

 

“Saya telah menghabiskan lebih dua dekad kerjaya saya dalam keusahawanan, khususnya dalam sektor F&B. Namun, ini merupakan satu pencapaian yang penting dan bermakna, bukan hanya untuk saya, tetapi juga untuk syarikat,” kata Pengasas BROKU, Ku Addyfazly Ku Radin (Broku).

 

Dengan mengumpul data urus niaga yang luas dan memantau metrik prestasi utama, BROKU berhasrat untuk menjadi jambatan bagi peniaga F&B yang tersisih daripada kemudahan kredit dan pendanaan.

 

Selain itu, inisiatif ini juga bertujuan membantu menangani jurang pendanaan RM90 bilion syarikat-syarikat besar dengan PMKS di Malaysia.

 

Justeru, BROKU juga menawarkan BROKU Licensing Program (BLP) sebuah program inkubasi perniagaan, yang telah dilancarkan buat julung kali pada April 2023.

 

Melalui BLP, 200 syarikat dalam pelbagai fasa pertumbuhan telah berpeluang mempelajari kemahiran perniagaan yang penting setakat ini, termasuk meningkatkan kehadiran dalam talian melalui pemasaran dan pengiklanan, serta menambah baik pengurusan rantaian bekalan melalui teknologi canggih.

 

Selain itu, BLP juga membantu meningkatkan literasi kewangan peniaga F&B, termasuk aspek dokumentasi dan pengurusan kewangan.

 

Program inkubasi perniagaan F&B ini bukan hanya menghubungkan peserta kepada rangkaian industri BROKU yang luas dan hab informasi 24/7, tetapi juga meningkatkan kemahiran dan keupayaan usahawan F&B tempatan.

 

Pada keseluruhannya, BLP menyasarkan untuk membantu 3,000 peniaga, dengan kadar 86% peserta berjaya mencapai pertumbuhan antara 35% hingga 90%.

 

Baru-baru ini, perniagaan-perniagaan yang menyertai BLP telah mempamerkan kenaikan pendapatan pelanggan sebanyak RM15 juta secara kolektif.

 

"Kami menyaksikan purata kenaikan 35.6% dalam pendapatan peserta-peserta program kami setakat ini,” tambah Broku.

 

“Dengan inisiatif pendanaan ini, kami berharap dapat mendampingi lebih banyak lagi PMKS tempatan dan menyemarakkan landskap F&B Malaysia dengan melahirkan usahawan yang celik dunia perniagaan, serta mempamerkan pertumbuhan yang berkekalan dan konsisten pada masa depan.”

 

Layari www.pitchin.my/equity/broku untuk maklumat lanjut tentang inisiatif pendanaan BROKU. - DagangNews.com