Pakar ramal harga minyak sawit mentah jatuh dengan ketara pada 2022 | DagangNews Skip to main content

Pakar ramal harga minyak sawit mentah jatuh dengan ketara pada 2022

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka berlegar dalam paras yang lebih rendah sepanjang tahun ini sebelum menyusut dengan lebih ketara pada tahun 2022. 

 

Perkara itu diunjurkan oleh rata-rata pakar yang hadir ke persidangan Globoil India 2021 edisi ke-24, baru-baru ini, menurut firma penyelidikan, CGS-CIMB Research.

 

Jelas firma itu lagi, pakar melihat bekalan minyak yang boleh dimakan terhad, namun dijangka memulih pada suku keempat 2021 (4Q21) memandangkan hasil bunga matahari diunjurkan tinggi. 

 

Situasi itu dijangka terus mereda memasuki 2022, seterusnya menyaksikan harga MSM yang lebih rendah daripada RM4,596 setiap tan.

 

“Pengarah Godrej International, Dorab Mistry mengunjurkan harga minyak sawit akan didagangkan dalam jajaran RM4,000 hingga RM4,400 setiap tan bermula Oktober 2021 hingga Februari 2022 sebelum menyusut pada Mac 2022, dengan harga itu disokong oleh mandat B30 Indonesia, levi eksport Indonesia dan bekalan terhad yang memuncak pada Januari hingga Februari 2022. 

 

“Beliau menjangkakan harga MSM tinggi akan menyusut daripada RM3,800 setiap tan pada April 2022 kepada RM3,200 setiap tan pada September 2022.

 

"Beliau juga menurunkan unjuran 2021 bagi pengeluaran Malaysia kepada 18.2 juta dan pengeluaran 2022 dijangka meningkat kepada 19.2 juta tan sekiranya kerajaan berjaya mengurangkan masalah buruh,” jelas CGS-CIMB dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

Persidangan itu dianjurkan pada 24 dan 24 September yang turut menyaksikan barisan panel termasuk Pengerusi firma rundingan komoditi, LMC International, James Fry; Pengerusi Pakistan Edible Oil Refiners Association, Rasheed Janmohammed; Timbalan Pengerusi  Indonesia Palm Oil Association (GA PKI), Togar Sitanggang; Ketua firma penyelidikan, Oil World, Thomas Mielke dan Mistry.

 

CGS-CIMB yang memetik kenyataan Mielke mengunjurkan harga minyak olein yang diperhalusi, diluntur dan dihilangkan bau (RBD) akan menyusut hampir 23% pada Mac 2022 daripada paras semasa. 

 

Pengeluaran minyak sawit global pula dijangka meningkat sebanyak 4 juta tan pada 2021 memasuki tahun 2022, dipacu oleh Malaysia dengan penambahan sebanyak 1.1 juta tan, Indonesia (1.9 juta tan) dan negara lain (0.9 juta tan). - DagangNews