Pakej rangsangan ekonomi bersifat inklusif | DagangNews Skip to main content

Pakej rangsangan ekonomi bersifat inklusif

Malaysia

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Kesemua pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM305 bilion yang telah diperkenalkan oleh kerajaan bersifat inklusif dan mempunyai tujuan tersendiri.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Abd. Rahim Bakri berkata, pakej rangsangan itu adalah termasuk dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Kerangka Inisiatif Tambahan PRIHATIN (KITA PRIHATIN) yang berjumlah RM305 bilion.

"Pakej-pakej itu mempunyai tujuan tersendiri untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan dalam menangani krisis COVID-19.

"Ia juga membantu meringankan beban rakyat, membantu perniagaan serta memulihkan ekonomi negara.

"Pelaksanaan pakej-pakej rangsangan ekonomi ini dijangka menyumbang sekitar empat mata peratusan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) di Dewan Rakyat hari ini seperti dilapor BERNAMA.

 

Abd. Rahim Bakri
Abd. Rahim Bakri 

 

Jawapan tersebut diberikan selepas Salahuddin Ayub meminta beliau mengulas berkaitan kaedah pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi domestik yang inklusif bagi membantu negara menangani suasana ekonomi yang mencabar sepanjang 2020.

Mengulas lanjut, Abd. Rahim berkata, antara kaedah dan inisiatif pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi sejak awal pandemik COVID-19 adalah Bantuan Prihatin Nasional sekali bayar sehingga RM1,600 kepada golongan isi rumah B40, M40 serta individu bujang.

Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga diberi kemudahan pengeluaran i-Lestari pada kadar maksimum RM500 sebulan, selama 12 bulan.

 

Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub

 

Kerajaan juga memberi bantuan tunai kepada pemandu e-panggilan, pemandu teksi, bas sekolah, pemandu pelancong dan bas persiaran dengan nilai berjumlah lebih RM70 juta kepada lebih 131,000 penerima.

Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan Program Subsidi Upah bagi membantu majikan mengekalkan pekerja melibatkan RM11.9 bilion dengan jumlah penerima lebih 2.6 juta pekerja dan lebih 322,000 majikan. - DagangNews.com