Panasonic mulakan operasi bangunan R&D baharu di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Panasonic mulakan operasi bangunan R&D baharu di Malaysia

Bangunan baharu Panasonic Appliances Air-Conditioning R&D Malaysia Sdn. Bhd. di Seksyen 21, Shah Alam, Selangor.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Jan - Panasonic Corporation memulakan operasi sebuah bangunan baharu yang dibina di Panasonic Appliances Air-Conditioning R&D Malaysia Sdn. Bhd. (dikenali sebagai PAPARADMY) di Malaysia. 

 

Bangunan baharu itu dilengkapi dengan kemudahan terkini, termasuk makmal serba guna yang pertama untuk menguji pemanas air dan peralatan penyaman udara secara serentak.

 

Berkeluasan 10,900 meter persegi, bangunan R&D baharu itu terletak di Seksyen 21, Shah Alam, Selangor.

 

Ia direka untuk menyingkatkan masa pembuatan peralatan penyaman udara untuk pasaran global, terutamanya di ASEAN dan Eropah, serta membolehkannya mempercepatkan pembangunan untuk memenuhi keperluan tempatan.

 

Panasonic Heating & Ventilation A/C Company memiliki dua syarikat di Malaysia iaitu Panasonic Appliances Air-Conditioning Malaysia Sdn Bhd (dikenali sebagai PAPAMY), yang merupakan kilang pengeluaran dan jualan untuk penghawa dingin bilik, penghawa dingin komersial, pam haba udara-ke-air (dikenali sebagai A2W).

 

PAPARADMY, pula adalah merupakan pusat penyelidikan dan pembangunan. PAPAMY diasaskan pada 1973 dan menyambut ulang tahun penubuhan yang ke-50 tahun ini.

 

Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, memuji keputusan Panasonic untuk menubuhkan bangunan R&D baharu mereka di Malaysia. 

 

Katanya, Panasonic disifatkan sebagai contoh cemerlang transformasi dan pertumbuhan korporat, mengemudi dengan cekap landskap dinamik teknologi pembuatan. 

 

"Mengendalikan sembilan fasiliti perkilangan dan 12 entiti yang terlibat di dalam R&D, jualan dan pengurusan. Pendekatan komprehensif Panasonic berjaya memupuk pertumbuhan ekonomi merentas pelbagai sektor serta menjana sekitar 17,000 peluang pekerjaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

 

Sulaiman berkata, pusat R&D di Malaysia itu bersedia untuk dinaik taraf daripada peranan sokongan kepada peranan kepimpinan global, menerajui pusat R&D untuk produk baharu serta teknologi baru untuk perniagaan global Panasonic. 

 

"Dengan sokongan daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan MIDA, pencapaian Kumpulan Panasonic di Malaysia dapat dicapai melalui pakatan strategik yang bertujuan untuk transformasi industri elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia dan menyumbang kepada kemajuan teknologinya," katanya.

 

Di ASEAN, seiring dengan peningkatan populasi, pembangunan struktur besar, termasuk bangunan juga berkembang justeru, permintaan untuk penghawa dingin komersial kekal kukuh. 

 

Pasaran global untuk produk penghawa dingin yang menggunakan teknologi pam haba, A2W, dan sistem hidronik yang sangat menjimatkan tenaga untuk kegunaan komersial sedang berkembang.  - DagangNews.com