Panggung Rakyat CENDANA persembahkan Manora dari Kelantan 24 Disember 2021 | DagangNews Skip to main content

Panggung Rakyat CENDANA persembahkan Manora dari Kelantan 24 Disember 2021

Kumpulan Manora Cit Manit Bukit Yong dari Pasir Puteh, Kelantan.

 

 

KUALA LUMPUR 22 Dis – Peminat seni budaya warisan berpeluang menghayati tarian gemalai Manora dari masyarakat Thai di Kelantan di ruang maya Panggung Rakyat CENDANA pada Jumaat, 24hb Disember ini.

 

Untuk Episod terakhir Panggung Rakyat 2021, CENDANA dengan kerjasama PUSAKA mempersembahkan Manora, menampilkan Kumpulan Manora Cit Manit Bukit Yong dari Pasir Puteh, Kelantan.

 

Manora, juga dikenali sebagai Menora, merupakan tradisi drama-tari yang diamalkan oleh masyarakat Thai di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia iaitu Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang.

 

Manora berasal dari selatan Thailand, dan dikenali di tanah asalnya sebagai Nora Chatri atau Nora.

 

Persembahan Manora terdiri daripada tarian, muzik, nyanyian, dan lakonan. Ia merupakan seni tradisi rakyat yang diperturunkan secara lisan.

 

Manora biasanya dipersembahkan sempena perayaan dan upacara di wat (tokong Buddha Siam). Ia juga diadakan dalam majlis keramaian seperti perkahwinan dan pesta umum.

 

Perkataan 'manora' berasal daripada kisah Jataka dalam tradisi Buddha mengenai Manora, puteri 'kinari' (makhluk manusia-burung kayangan) yang jatuh hati kepada seorang putera manusia, Phrak Shuthon.

 

Kisah ini adalah asas kepada gerak tarian dalam tradisi ini di mana penari utamanya, yang digelar sebagai Pak Sitong, memegang watak Phrak Shuthon dan menari untuk memikat Manora dan adik-beradik perempuan kayangannya.


 

manora

 


Tarian Manora merangkumi gerak lengan yang terlentang dan jari-jari yang dilentikkan ke belakang, diselingkan antara gerak-geri halus dan anggun yang membayangkan burung kayangan itu.

 

Tarian pembukaan disusuli dengan lakonan kisah-kisah oleh penari utama, penari pengiring, dan watak-watak sampingan.

 

Perhiasan pakaian Manora terdiri daripada mahkota yang dipanggil Kecopong (bahasa Thai: Sert), kuku panjang perak Canggai (Lép), baju manik Laa (Sooi), dan ‘ekor Manora’ yang dipanggil Sayap Sandang (Harng).

 

Alat muzik yang mengiringi persembahan Manora terdiri daripada gong, gendang, geduk, gedumbak, canang, kesi, serunai dan cerek.

 

Di Kelantan, Manora telah meresapi beberapa unsur seni Kelantan khususnya Mak Yong. Pengaruh Mak Yong boleh dikesan dalam alunan muzik yang mengiringi Manora dan juga dialog yang menggunakan loghat Melayu Kelantan.

                                                                                                           

Panggung Rakyat

Manora menampilkan penari dan pemuzik Kumpulan Manora Cit Manit Bukit Yong dari Pasir Puteh, Kelantan, dengan penari utama Amnuai Eler.

 

Rakaman yang dikendalikan oleh PUSAKA ini memaparkan tarian Manora penuh yang jarang dipersembahkan. Ia juga menyelitkan temubual bersama Amnuai Eler dan Ah Tid Ah Sing, seorang lagi penari utama Kumpulan Cit Manit.


 

manora

 


Amnuai dan Ah Tid adalah penggiat seni Manora yang terkenal dan masih giat di Kelantan. Mereka merupakan pewaris tok guru Manora tersohor, Eler, ayah Amnuai.

 

Panggung Rakyat adalah sebuah program seni budaya CENDANA yang mula diadakan pada tahun 2019 dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai sebuah program seni bulanan yang menampilkan persembahan-persembahan kesenian asli.

 

Program ini bertujuan untuk menarik para penonton untuk lebih menyelami kesenian, meraih pandangan serta perbualan yang menyatukan rakyat melalui seni dan budaya serta memberi pengalaman seni yang mengasyikkan kepada semua.

 

Bagi edisi tahun 2021, Panggung Rakyat akan diadakan di atas talian sebagai langkah membendung wabak COVID-19 dan akan bersiaran sebanyak 2 kali sebulan sehingga bulan Disember 2021.

 

Tontoni Episod terakhir Panggung Rakyat: Manora pada 24hb Disember jam 8.30 malam di Laman Facebook CENDANA MALAYSIA: https://www.facebook.com/CENDANAMalaysia

 

Sila hubungi PUSAKA: [email protected] untuk maklumat lanjut tentang seni Manora. – DagangNews.com