Keselamatan makanan: Gubal dasar wajibkan syarikat sawit sediakan 25% kawasan ternak lembu | DagangNews Skip to main content

Keselamatan makanan: Gubal dasar wajibkan syarikat sawit sediakan 25% kawasan ternak lembu

Integrasi ternakan dengan tanaman kelapa sawit dapat juga mengurangkan penggunaan racun (15%-40%).  - Gambar RISDA Livestock
Oleh Prof Dato’ Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam

Daging lembu dan kerbau merupakan sumber protein penting yang menyokong keperluan asid amino dan mikronutrien bagi pemakanan dan kesihatan manusia.

 

Pada 2005, penggunaan daging lembu dan kerbau di Malaysia berjumlah 138,980 tan metrik berbanding 244,801 tan metrik pada tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 76%. Ini mencerminkan kadar peningkatan purata sebanyak 4.47% setiap tahun.

 

Jumlah penggunaan daging sesebuah negara secara lazimnya adalah berkadar terus dengan peningkatan populasi dan pendapatan rakyat.

 

Manakala bekalan tempatan untuk kedua-dua jenis daging tersebut mengalami penurunan. Hasilnya, kadar sara diri telah berkurangan dari 23.6% pada 2015 menjadi 14.7% pada 2022, bermakna sebanyak 85.3% keperluan daging lembu dan kerbau di negara ini perlu diimport.

 

 

parafrasa
Prof Dato’ Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam

 

 

Secara terperinci, trend populasi lembu dan kerbau menunjukkan penurunan dari 914,548 ekor pada 2005 ke 801,614 ekor pada 2022. Ini bermakna di antara tahun 2005 hingga 2022, negara telah mengalami pengucupan ternakan sebanyak 12.35%.

 

Penurunan populasi ternakan boleh juga dikaitkan dengan kadar penyembelihan yang tinggi ternakan tempatan, di mana pada 2015, daripada 149,174 ekor lembu dan kerbau yang disembelih, 45.6% berasal dari sumber tempatan.

 

Namun pada 2022, daripada 125,313 ekor yang disembelih, sebanyak 90.1% diperoleh dari sumber tempatan. Kenaikan peratus ternakan yang disembelih daripada sumber ternakan tempatan akan menggugat kestabilan gerompok ternakan.

 

Kajian telah menunjukkan jika jumlah penyembelihan, penyingkiran, dan kematian lembu dan kerbau setiap tahun melebihi jumlah penggantian melalui kelahiran dan tambahan ternakan baharu daripada import, maka akan berlaku pengurangan populasi ternakan.

 

Jabatan Perkhidmatan Veterinar di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah melaksanakan pelbagai program dan inisiatif, bagi mempertingkatkan dan memperkembangkan pengeluaran lembu dan kerbau secara tempatan namun usaha-usaha setakat ini masih kurang berkesan.

 

Sudah sampai masanya untuk kita memikirkan pendekatan yang berkesan serta berfokus kepada strategi-strategi yang boleh membina populasi ternakan, dengan kata lain meningkatkan populasi bibit atau lembu pembiak.

 

 

parafrasa

 

 

Apabila berlaku penambahan bilangan lembu pembiak yang tinggi maka lebih banyak anak lembu boleh dihasilkan dan dengan ini penggandaan populasi ternakan akan berlaku.

 

Kawasan yang luas diperlukan untuk memperkembangkan aktiviti pembiakan dan menambahkan populasi ternakan. Malaysia tidak mempunyai kawasan ragutan yang luas seperti di negara Australia tetapi mempunyai kawasan tanaman kelapa sawit yang begitu luas iaitu 5.85 juta hektar yang sebahagiannya (12.6%) telah pun digunakan untuk menternak lembu.

 

Beberapa syarikat serta pengusaha-pengusaha persendirian sedang dengan jayanya mengusahakan perladangan integrasi lembu dengan tanaman kelapa sawit.

 

Jika kita boleh tambahkan lagi kawasan seluas 750,000 hektar (anggaran peningkatan 13%) untuk menternak lembu di dalam ladang kelapa sawit maka kita boleh tambahkan bilangan ternakan sebanyak 187,500 ekor (berdasarkan nisbah 1 ekor induk untuk 4 hektar).

 

Ia berpotensi menambahkan pengeluaran daging berjumlah 10,416 tan metrik (dengan andaian 18 induk boleh menghasilkan 1 tan metrik daging berdasarkan kadar kelahiran 56% dengan tambahan sembelihan 20% daripada induk yang diasingsingkir dan 20% daripada anak betina).

 

Ini sudah tentu memerlukan penyertaan syarikat-syarikat besar untuk melabur di dalam industri ini kerana syarikat-syarikat perladangan kelapa sawit swasta dan senaraian awam memiliki lebih daripada 50% keseluruhan kawasan tanaman kelapa sawit di dalam negara.

 

Secara lazimnya syarikat-syarikat ini menyatakan mereka tiada kepakaran untuk menceburi bidang ini serta pulangan yang rendah.

 

Untuk menarik minat syarikat-syarikat tersebut, tiga pendekatan boleh disyorkan untuk mereka pilih bagi mengatasi kekangan yang dihadapi:

 

  1. Mengadakan usahasama dengan syarikat-syarikat yang berjaya untuk mengusahakan integrasi lembu dengan tanaman kelapa sawit.
     
  2. Melantik syarikat yang berjaya untuk menguruskan atau mengendalikan busines integrasi ternakan lembu dengan kelapa sawit.
     
  3. Menyewakan kawasan kepada koperasi penternak lembu setempat untuk mengusahakan bidang ini dengan menggunakan garispanduan yang disediakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta di bawah pemantauan Jabatan.

 

 

Di samping itu, kerajaan juga boleh membantu menyediakan insentif percukaian tambahan kepada syarikat yang terlibat di dalam pelaburan ini.

 

Walau bagaimanapun yang penting sekali adalah sebuah polisi perlu diwujudkan untuk memerlukan setiap syarikat perladangan kelapa sawit mengenal pasti dan menyediakan 20%-25% daripada kawasan tanaman kelapa sawit untuk penternakan lembu bagi memastikan bekalan daging lembu tempatan dapat dipertingkatkan.

 

 

parafrasa

 

 

Integrasi ternakan dengan tanaman kelapa sawit dapat juga mengurangkan penggunaan racun (15%-40%) untuk meracun rumpai kerana ternakan lembu dapat meragut sebahagian daripada rumpai tersebut.

 

Bukan itu saja, pengurangan penggunaan racun dapat mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar dan syarikat boleh menonjolkan usaha ini sebagai menepati keperluan di bawah ‘ESG’ (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus), Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), yang kini diberi tumpuan.

 

Selain itu, usaha perlu diambil untuk mengatasi penyembelihan lembu betina yang produktif. Antara sebab lembu produktif disembelih adalah untuk menambah pendapatan atau bilangan ternakan yang dipelihara tidak dapat ditampung oleh kawasan meragut yang terhad.

 

Sudah ada peruntukan undang-undang di bawah Akta Binatang 1953 (Akta 647) yang melarang penyembelihan untuk mengurangkan ketirisan induk ternakan.

 

Akta ini boleh digunakan bersekali dengan satu sistem yang boleh diwujudkan untuk pembelian semula lembu-lembu betina produktif yang hendak disembelih dan kemudiannya dijual semula atau diagihkan kepada penternak yang berkapasiti untuk meningkatkan populasi lembu.

 

Strategi-strategi ini boleh dijayakan jika pendekatan bersepadu dilakukan oleh kerajaan dan pihak swasta di samping lain-lain strategi yang sedang, akan dan perlu dilaksanakan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan seperti yang terkandung di dalam Pelan Strategik Pembangunan Industri Pedaging Negara (BIF Plan) 2021-2025. 

 

Dengan usaha-usaha yang berfokus ini, kita dapat mempertingkatkan kadar sara diri untuk bekalan daging lembu dan kerbau ke suatu tahap yang lebih tinggi. - DagangNews.com

 

Profesor Dato’ Dr Quaza Nizamuddin Bin Hassan Nizam adalah Profesor di Fakulti Kesihatan dan Sains Perubatan, Taylor's University. Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (2017-2020) dan sebagai Presiden Persekutuan Persatuan Veterinar Asia (2020-2022)