Paramount akan lepaskan pegangan dalam perniagaan pendidikan menjelang FY26 - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Paramount akan lepaskan pegangan dalam perniagaan pendidikan menjelang FY26 - AmInvestment

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Sept - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Paramount Corp. Bhd. dengan nilai wajar lebih tinggi pada 74 sen berbanding 73 sen sebelum ini.
 

Semakan itu mengambil kira hutang bersih yang lebih rendah daripada pelupusan perniagaan pendidikannya.

 

Semalam, kumpulan menjual pelaburannya dalam tiga anak syarikat yang terlibat dalam sektor pendidikan swasta dengan jumlah RM120 juta untuk memberi tumpuan kepada pembangunan hartanah.

 

Anak-anak syarikat itu ialah Sri KDU Klang Sdn. Bhd. (SKK), Sri KDU Sdn. Bhd. (SK) dan Paramount Education Sdn. Bhd. (PESB).

 

"Oleh itu, kami menaikkan unjuran keuntungan bersih teras bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak 3%, 2% dan 2%. 

 

"Ini mengambil kira perbelanjaan faedah yang lebih rendah dengan pinjaman kumpulan dijangka berkurangan daripada hasil pelupusan perniagaan pendidikannya," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Sebelum ini, Paramount kali pertama telah melengkapkan pelupusan kepentingan dalam PESB (70%), SKK (80%) dan SK (80%) kepada XCL pada Februari 2020.

 

Selepas selesai melupuskan baki sahamnya dalam PESB, SKK dan SK, Paramount akan keluar sepenuhnya daripada perniagaan pendidikan prasekolah.

 

Pelupusan itu dijangka selesai pada suku keempat ini dengan hasilnya akan digunakan terutamanya untuk pengagihan dividen khas dan pembayaran balik pinjaman.

 

AmInvestment menjangkakan nisbah gearan bersih kumpulan akan meningkat kepada 0.47 kali daripada 0.5 kali sebelum ini setelah menyelesaikan langkah pelupusan tersebut.

 

"Kami melihat langkah ini sebagai positif kerana ia selaras dengan strategi Paramount untuk keluar daripada industri pendidikan, dan menumpukan pada perniagaan terasnya pembangunan hartanah," jelasnya.

 

Bagaimanapun, menurut firma itu, pada masa ini, kumpulan masih memegang 35% daripada perniagaan pendidikan tinggi. 

 

"Kami menjangkakan perniagaan pendidikan ini akan dilupuskan sepenuhnya menjelang FY26 dengan Universiti Wollongong (UOW) bersetuju untuk membeli 5% lagi pegangan menjelang FY23. 

 

"Di samping itu, UOW juga telah memeterai perjanjian 'call option' dengan Paramount untuk membeli baki 30% kepentingan dalam FY24 hingga FY26," katanya.

 

Setakat 12.06 tengah hari, harga sahamnya menokok 2 sen atau 3.05% kepada 67.5 sen dengan 391,500 saham diniagakan. -DagangNews.com