Paras hutang negara masih di bawah had 60% KDNK | DagangNews Skip to main content

Paras hutang negara masih di bawah had 60% KDNK

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Gambar ihsan Facebook Tengku Zafrul

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

 

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Paras hutang negara pada akhir November 2020 masih berada di bawah had 60% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang ditetapkan.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, nisbah hutang kerajaan Persekutuan pada tempoh tersebut adalah RM818.2 bilion atau 56.8% daripada KDNK.

 

"Status kedudukan hutang kerajaan adalah berdasarkan statutori di bawah Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019(COVID-19) Akta 830 meliputi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB).

 

“Ini menunjukkan hutang negara berada pada had yang dibenarkan," katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Senator Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff di Dewan Negara hari ini seperti dilapor Bernama.

 

Jawapan tersebut diberikan kepada Mohd. Yusmadi yang ingin mengetahui sama ada paras hutang kerajaan berada pada had yang dibenarkan.

 

Mengulas berkaitan status hutang kerajaan berhubung projek mega yang dibatalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH), beliau memberitahu, obligasi pembayaran hutang tetap diteruskan seperti yang terkandung dalam perjanjian berkaitan.

 

"Beberapa projek yang ditangguhkan seperti Transit Aliran Ringan 3 (LRT3),Tren Aliran Transit Massa 2 (MRT 2) serta Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diteruskan semula dengan skop dan kos yang ditambah baik.

 

"Pada masa sama, projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, Trans Sabah Gas Pipeline (TSGP), Tren Aliran Transit Massa 3 (MRT 3) dan Multi Product Pipeline (MPP) masih dalam proses rundingan untuk diteruskan semula,” ujar beliau lagi. - DagangNews.com

 

Terdahulu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan yang diunjurkan mencecah 61.1% daripada KDNK pada 2020 dijangka tidak akan menjejaskan kedudukan penarafan hutang negara oleh beberapa agensi penarafan global iaitu pada 'A-'.

 

Hutang berkenaan masih di bawah paras median atau penengah anggaran hutang negara yang memiliki penarafan sama iaitu 61.8%. - DagangNews.com