Paras semasa ringgit tidak cerminkan prospek ekonomi negara, kata Gabenor BNM | DagangNews Skip to main content

Paras semasa ringgit tidak cerminkan prospek ekonomi negara, kata Gabenor BNM

Datuk Abdul Rasheed Ghaffour memaklumkan prestasi ringgit baru-baru ini dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran, sama seperti mata wang serantau lain. - Gambar Bernama
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Feb - Kedudukan semasa nilai mata wang ringgit tidak mencerminkan prospek positif ekonomi Malaysia pada masa akan datang, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.

 

Mata wang tempatan terus merekodkan prestasi lemah setakat 9 pagi tadi dengan ringgit berkurangan kepada 4.7870/7930 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 4.7850/7890 semasa ditutup pada Isnin.

 

Kali terakhir paras ringgit terendah dicatatkan pada 1998 apabila krisis kewangan Asia menjejaskan mata wang serantau dengan RM4.885 setiap dolar AS.

 

Abdul Rasheed berkata, prestasi ringgit baru-baru ini dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran, sama seperti mata wang serantau lain. 

 

Katanya, antara faktor tersebut termasuk pelarasan pasaran kepada jangkaan kadar faedah AS yang berubah-ubah, kebimbangan geopolitik dan ketidakpastian berkaitan dengan prospek ekonomi China.

 

"Pertumbuhan pada tahun 2024 akan didorong oleh permintaan luaran yang bertambah baik dan perbelanjaan dalam negeri yang kukuh. 

 

"Unjuran terkini Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) menunjukkan perdagangan global akan meningkat daripada 0.4% pada 2023 kepada 3.3% pada 2024. 

 

"Bagi Malaysia, eksport mencatatkan penambahbaikan yang stabil sejak suku keempat tahun 2023. Malah, eksport Januari 2024 yang diumumkan baru-baru ini juga positif (+8.7%)," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, soalan mengenai prestasi ringgit akan dijawab oleh Gabenor BNM.

 

Anwar berkata, Abdul Rasheed sudah berjanji untuk menjelaskan mengenai perkara itu.

 

"(Mengenai prestasi) ringgit, gabenor (Abdul Rasheed) ada di sini. Dia dah janji nak jawab," katanya ringkas ketika menjawab pertanyaan media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam (ICIEF) ke-15, di sini hari ini.

 

Menurut Abdul Rasheed, sektor pelancongan pulih dengan kukuh dan ketibaan pelancong pada 2024 dijangka mengatasi paras sebelum pandemik iaitu 26 juta. 

 

Katanya, momentum pelaburan juga meningkat berikutan pelaksanaan projek-projek yang telah diluluskan dalam sektor swasta dan awam. 

 

"Susulan perkembangan-perkembangan positif ini bersama-sama dengan komitmen kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan struktur dan jangkaan bahawa kadar faedah akan diturunkan di negara-negara maju, kebanyakan penganalisis membuat jangkaan bahawa ringgit akan menambah nilai pada tahun ini," katanya. - DagangNews.com