Parkson catat untung bersih RM19.3 juta pada 2QFY23 dipacu operasi peruncitan di Malaysia, China | DagangNews Skip to main content

Parkson catat untung bersih RM19.3 juta pada 2QFY23 dipacu operasi peruncitan di Malaysia, China

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Parkson Holdings Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM19.3 juta dalam suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) berbanding kerugian bersih RM31 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pendapatan kumpulan dalam suku berakhir 30 Jun 2023 itu turut melonjak 16.5% kepada RM832 juta daripada RM714.5 juta tahun lalu.

 

Sementara itu, ia mencatat pendapatan sesaham (EPS) 1.68 sen pada suku berkenaan berbanding kerugian sesaham 2.71 sen sebelumnya.

 

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2023 (6MFY23), Parkson telah mencatat keuntungan bersih RM40 juta daripada kerugian bersih RM39.8 juta, manakala pendapatannya meningkat 8.3% kepada RM1.67 bilion berbanding RM1.54 bilion.

 

Kumpulan itu berkata segmen peruncitan mencatatkan hasil 8% lebih tinggi sebanyak RM1.6 bilion pada 6MFY23 dengan keuntungan operasi meningkat kepada RM282 juta.

 

“Bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2023, hasil operasi peruncitan Malaysia meningkat 9% kepada RM400 juta disebabkan peningkatan jumlah pembeli di kedai, seiring dengan pemansuhan sekatan pergerakan. Sehubungan itu, operasi itu mencapai keuntungan operasi yang lebih tinggi sebanyak RM114 juta berbanding setahun lalu,” katanya.

 

Sementara itu, operasi peruncitannya di China turut pulih sejak kawalan COVID-19 negara itu dimansuhkan sejak akhir 2022, di samping sumber pendapatan sewa tambahan daripada hartanah pelaburan di Beijing pada suku ini, telah mendorong prestasi jualan Parkson China yang memberangsangkan sebanyak RM1.23 bilion pada 6MFY23.

 

“Sejajar dengan jualan yang lebih tinggi, ditambah dengan usaha berterusan dalam mengoptimumkan kecekapan operasi dan langkah kawalan kos, keuntungan operasi pada 6MFY23 berjumlah RM171 juta,” tambahnya.

 

Sebaliknya, satu-satunya kedai Parkson di Vietnam, Parkson Saigon Tourist Plaza, mencatatkan pendapatan RM4 juta dengan kerugian operasi RM3 juta dalam tempoh berkenaan.

 

Walaupun kedai beransur pulih berikutan penyambungan semula perjalanan merentas wilayah dan merentas sempadan di China, Parkson berkata operasi peruncitan kumpulan dijangka mengalami aliran trafik yang rendah tanpa adanya perayaan utama dalam suku ketiga yang berakhir pada 30 September 2023.

 

“Kumpulan terus kekal fokus meningkatkan produktiviti kedai dan melaksanakan strategi penambahbaikan kos, selain terus mempelbagaikan sumber pendapatan untuk merebut sepenuhnya peluang dan menggalakkan pembangunan mampan jangka panjang perniagaannya,” tambahnya.

 

Saham Parkson ditutup tinggi hari ini pada 36.5 sen, meningkat 4.5 sen atau 14.1% dengan permodalan pasaran bernilai RM419.3 juta. - DagangNews.com