Pas lawatan sementara buruh asing menurun kepada 1.54 juta | DagangNews Skip to main content

Pas lawatan sementara buruh asing menurun kepada 1.54 juta

Pekerja asing. Gambar hiasan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Statistik pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk pekerja asing di Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia mencatatkan penurunan kepada 1.54 juta orang pada November 2020 berbanding 1.92 juta orang pada Mac lalu.

 

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkata, jumlah tersebut melibatkan pekerja asing yang tidak dapat pulang ke negara asal dan mereka yang telah tamat permit.

 

 Awang Hashim
 Awang Hashim 

 

"Jumlah PLKS pada Mac 2020 adalah seramai 1.92 juta orang dan bilangan ini telah menurun kepada 1.54 juta orang pada November 2020.

 

"Ini adalah pekerja asing yang tidak dapat pulang ke negara asal mereka apabila berlakunya pandemik Covid-19 ini dan juga mereka yang telah tamat permit yang mana Kerajaan membenarkan pelaksanaan penyilangan sektor tertentu walaupun permit diberikan di dalam bidang yang lain," jelasnya ketika menjawab soalan Senator Nuridah Mohd. Salleh (Pas) dalam sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

 

Nuridah membangkitkan persoalan berkaitan jumlah peningkatan peratusan pekerja tempatan yang bekerja dalam sektor pembinaan, pertanian dan perladangan sepanjang tempoh pembekuan pengambilan pekerja asing dilaksanakan pihak kerajaan.

 

Nuridah Mohd. Salleh
Nuridah Mohd. Salleh 

 

Mengulas berkaitan peningkatan pekerja tempatan, beliau memberitahu, pengurangan jumlah pemegang pas pekerja asing tersebut menyebabkan berlakunya pengisian pekerja tempatan dalam bidang tertentu seperti pembinaan, perladangan dan pertanian. 

 

"Dalam sektor pembinaan, sebanyak 6,803 orang rakyat tempatan diisi dan sebanyak 2,143 orang dalam sektor pertanian dan perladangan.

 

"Pemegang PLKS bagi sektor pembinaan mencatatkan jumlah seramai 406,369 orang pada Mac 2020 dan menurun kepada 337,426 orang pada November 2020.

 

"Pemegang PLKS bagi sektor pertanian mencatatkan jumlah seramai 143,348 orang pada Mac 2020 dan telah menurun kepada 111,140 orang pada November 2020," ujar beliau. - DagangNews.com