Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 19 April - Peningkatan ketara jangkitan COVID-19 sejak akhir-akhir ini dilihat akan menjejaskan pasaran bon tempatan, menurut Kenanga Research dalam laporan prospek pasaran bon mingguan hari ini.
Bagaimanapun, firma itu menjangkakan aliran masuk asing dalam pasaran akan berterusan dalam tempoh terdekat, disokong oleh perbezaan hasil yang tinggi dan semakan semula FTSE Russell yang positif.
"Tetapi, aliran masuk mungkin berkurangan bulan ini disebabkan peningkatan jangkitan baharu kes COVID-19, dan juga sentimen risiko di peringkat global," katanya.
Minggu lalu, hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) adalah bercampur-campur dengan pertengahan hingga hujung lekuk yang meningkat.
Hasil MGS 10 tahun meningkat 1.9 mata asas kepada 3.061% manakala MGS 3 tahun susut 2.4 mata asas kepada 2.101%.
Permintaan bagi MGS/GII secara dasarnya menerima tekanan minggu lalu apabila Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan data utama ekonominya.
Namun, permintaan meningkat pada pertengahan minggu berikutan tawaran jualan MGII 07/36 15 tahun dan menjejaki penurunan hasil perbendaharaan AS.
"Hasil dijangka menurun minggu ini jika situasi COVID-19 di peringkat domestik semakin memburuk, apabila jangkitan baharu semakin meningkat melepasi paras 2,000 kes buat kali pertama sejak awal Mac.
"Bagi jangka masa sederhana kepada panjang, hasil MGS/GII akan lebih tinggi sejajar dengan jangkaan pemulihan ekonomi," jelas firma itu.
Sementara itu, mengenai prospek ringgit pula, Kenanga Research berkata, mata wang tempatan itu akan diniagakan dalam julat yang terhad minggu ini kerana kurangnya pemangkin yang menggerakkan pasaran.
Dalam masa sama, hasil perbendaharaan AS 10 tahun juga kekal berlegar antara 1.5 hingga 1.6% manakala kenaikan harga minyak juga terhad.
"Kes jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat saban hari memberi tekanan kepada ringgit dan mempengaruhi sentimen pelabur terhadap kemungkinan berlaku gelombang keempat," katanya menerusi laporan prospek ringgit mingguan.
Kali terakhir Malaysia melepasi lebih 2,000 kes sehari ialah pada 5 Mac lalu dengan 2,154 kes.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, negara masih lagi mengharungi gelombang ketiga COVID-19 dan belum memasuki gelombang keempat penularan pandemik itu
Beliau menjelaskan, sesuatu penularan hanya dianggap gelombang seterusnya jika jangkitan tempatan ketika gelombang semasa sudah mendatar atau mencatat kes sifar selama beberapa hari sebelum berlaku peningkatan kes baharu secara mendadak.
Pada Jumaat, negara merekodkan kes baharu harian sebanyak 2,551 kes.
Malaysia mengalami gelombang ketiga COVID-19 pada September lalu dengan kes harian meningkat kepada 4 angka bermula 24 Oktober iaitu sebanyak 1,228 kes. - DagangNews.com