Pasaran raih ‘semangat’ sedikit, ringgit susut | DagangNews Skip to main content

Pasaran raih ‘semangat’ sedikit, ringgit susut

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 26 Mac - Pasaran saham tempatan berjaya ditutup melepasi paras rintangan 1,600 seiring pasaran global, didorong oleh pengedaran vaksin COVID-19 dan harga minyak mentah yang kembali meningkat.

 

Ketika ditutup pada 5 petang, indeks penanda aras di Bursa Malaysia, FBM KLCI ditutup pada 1,601.42, menokok 3.96 mata atau 0.23% daripada paras yang ditutup semalam, 1,597.73.

 

Dagangan juga berakhir positif apabila sebanyak 696 kaunter untung, mengatasi 345 kaunter rugi. 

 

Antara kaunter untung adalah Malaysian Pacific Industries Berhad, Nestle (Malaysia) Berhad, Heineken Malaysia Berhad, BLD Plantation Berhad, Seni Jaya Corporation Berhad, Rapid Synergy Berhad, Pineapple Resources Berhad, MSM Malaysia Holdings Berhad, Petronas Gas Berhad dan Kuala Lumpur Kepong Berhad.

 

Pasaran ekuiti Malaysia menyaksikan jumlah dagangan mencecah 5.96 bilion dengan nilai RM3.24 bilion.

 

Menurut Bloomberg, pengedaran vaksin COVID-19 menyuntik keyakinan terhadap ekonomi walaupun kes yang dicatatkan kian meningkat. 

 

Harga minyak mentah pula kembali melepasi AS$60 setong susulan Terusan Suez mungkin tetap disekat oleh kapal kontena selama tempoh berhari-hari kerana usaha untuk mengembalikannya perlahan.

 

Ini juga mungkin didorong oleh laporan bahawa Presiden AS, Joe Biden telah ‘berjanji’ untuk menggandakan rancangan pelancaran vaksinasi.

 

Jelas Bloomberg lagi, ekuiti di pasaran global kekal di bawah paras rekod tertinggi memandangkan para pelabur masih lagi mempertimbangkan perkembangan usaha menentang COVID-19 dan juga risiko inflasi.

 

Sementara itu, ringgit pula ditutup lebih rendah pada kadar RM4.1440/1490 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), daripada paras yang ditutup semalam, RM4.1410/1460. - DagangNews.com