Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 22 Dis. - Pasaran saham tempatan hari ini ditutup lebih rendah dengan penyusutan sebanyak 15.97 mata kepada 1,631.92 mata.
Paras yang dicatatkan dalam Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) itu adalah lebih rendah berbanding penutupan semalam iaitu 1,647.89 mata.
Dalam pembukaan pagi tadi, FBM KLCI mencatatkan kejatuhan 1.09 mata kepada 1,646.80.
Perkara itu didorong oleh sentimen para pelabur yang lebih cenderung untuk mengambil keuntungan dengan melakukan penjualan singkat menjelang perayaan Krismas nanti.
Saham Asia mengalami kemerosotan susulan sentimen risiko dalam kalangan pelabur yang bimbang terhadap laporan virus baharu di United Kingdom (UK).
Sentimen pelabur itu bagaimanapun turut dipengaruhi oleh keputusan kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang memerintahkan sekatan terhadap syarikat China dan Rusia yang mempunyai hubungan dan ikatan ketenteraan daripada membeli barangan dan teknologi AS.
Selain itu juga, AS turut mengumumkan sekatan visa yang lebih meluas terhadap pegawai China.
Menurut Bloomberg, pasaran saham Eropah bagaimanapun berada dalam paras pemulihan setelah mengalami penurunan terbesar dalam tempoh hampir dua bulan ketika lanjutan perbincangan Brexit serta kelulusan Senat Amerika Syarikat (AS) berhubung rang undang-undang perbelanjaan.
Indeks Stoxx 600 meningkat 0.6% lebih tinggi memandangkan pergerakan beli dan jual saham kembali berubah berikutan kemunculan varian wabak baharu serta sekatan perjalanan.
Kemunculan varian Strain baharu di Britain itu mengakibatkan peningkatan jumlah jangkitan kes.
Perkara tersebut mengheret paras saham global menyusut selepas mencapai paras tertinggi minggu lalu. - DagangNews.com