Pasaran susut, menjelang mesyuarat MPC esok | DagangNews Skip to main content

Pasaran susut, menjelang mesyuarat MPC esok

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 19 Jan. - Pasaran tempatan mengakhiri dagangan hari ini dengan lemah apabila indeks utama FBM KLCI ditutup rendah terutama menjelang mesyuarat dasar monetari (MPC) Bank Negara Malaysia, esok. 

 

Ia menyaksikan indeks itu susut 7.64 mata atau 0.47% kepada 1,601.88 mata dengan 6.81 saham bertukar tangan bernilai RM4.83 bilion. 

 

Keseluruhan pasaran juga negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung pada 625 berbanding 496 manakala 481 kaunter tidak berubah.  

 

Bagi pasaran kewangan pula, ringgit ditutup pada RM4.0480/0520 berbanding dolar AS, sedikit mengukuh daripada penutupan semalam, RM4.0500/0540

 

Bagaimanapun, kelemahan pasaran tempatan tidak seiring pasaran serantau terutama Korea Selatan, Jepun dan Hong Kong, menurut Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim.  

 

Pasaran serantau meraih manfaat selepas ekonomi China kembali pulih daripada pandemik COVID-19 dengan mencatat pertumbuhan 2.3% pada 2020.

 

Jelas beliau, saham pengeluar sarung tangan getah seperti Top Glove, Hartalega dan Supermax muncul kaunter paling rugi dalam indeks utama dengan susut lebih 1% dalam dagangan hari ini. 

 

"Dalam kalangan sektor, indeks penjagaan kesihatan mencatat penurunan paling tinggi, 2.1%," katanya kepada DagangNews.com.

 

Kebanyakan saham perbankan juga diniagakan hampir tidak berubah atau menyaksikan penurunan terutama menjelang mesyuarat MPC yang membuat keputusan pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) atau tidak. 

 

"Sudah tentu, jika OPR dikurangkan, ia tidak menguntungkan saham-saham perbankan kerana boleh memberi tekanan terhadap keuntungan bank," katanya.  

 

Sementara itu, menurut Hong Leong IB Research, secara keseluruhan pakej Permai ini adalah 'neutral' kepada pasaran kerana ia banyak memberi tumpuan secara bersasar kepada rakyat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. 

 

Firma itu menjangkakan indeks FBM KLCI akan berlegar pada paras sokongan antara 1,562 hingga 1,573 mata manakala paras rintangan antara 1,636 hingga 1,667 mata dalam tempoh terdekat. 

 

"Pelabur masih melihat impak ke atas ekonomi dengan pelaksanaan PKP 2.0 dan perintah darurat serta mesyuarat MPC esok," katanya. 

 

Susulan PKP 2.0, UOB Bank menyemak semula unjuran KDNK 2021 kepada 5% berbanding 6% sebelum ini. 

 

Firma itu menganggarkan pelaksanaan PKP setiap 2 minggu akan mengikis 0.4% daripada pertumbuhan ekonomi dengan anggaran kerugian sehingga RM5 bilion. 

 

Malah, UOB Bank turut menganggarkan pakej Permai melibatkan peruntukan sekitar RM4 bilion daripada keseluruhan Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion dan impak ke atas fiskal kerajaan adalah minimum. 
- DagangNews.com