Pasaran tempatan kembali raih momentum | DagangNews Skip to main content

Pasaran tempatan kembali raih momentum

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 1 April - Pelan infrastruktur bernilai AS$2 trilion yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menyuntik rangsangan kepada pasaran serantau termasuk Malaysia. 

 

Ini mendorong indeks utama FBM KLCI ditutup 0.6% lebih tinggi kepada 1,582.6 mata petang ini. 

 

Jumlah dagangan sebanyak 7.92 bilion bernilai RM3.71 bilion. 

 

Keseluruhan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi pada 787 berbanding 354 manakala 402 kaunter tidak berubah. 

 

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, pelabur sudah menghadam pengumuman Biden sekali gus menjadi pemangkin kepada pasaran untuk merekodkan peningkatan. 

 

Pelan itu antara lain termasuk sasaran untuk memodenkan lagi rangkaian pengangkutan di AS dan bakal mewujudkan berjuta peluang pekerjaan.

 

"Ini secara tidak langsung meningkatkan keyakinan pelabur terhadap pemulihan ekonomi AS berbanding negara lain," katanya. 

 

Menurut beliau, semua sektor di bawah Bursa Malaysia turut merekodkan peningkatan terutama indeks hartanah melonjak sehingga 2.3%. 

 

Di peringkat global, Presiden Emmanuel Macron mengarahkan Perancis untuk memasuki perintah berkurung buat kali ketiga dengan sekolah ditutup selama 3 minggu mengehadkan kenaikan dalam pasaran. 

 

Dari segi harga komoditi pula, harga minyak mentah Brent diniagakan tinggi menjelang mesyuarat OPEC yang mana ia menjangkakan pengeluaran akan dihadkan ekoran meningkatnya jangkitan COVID-19 di beberapa negara.

 

Sementara itu, bagi pasaran kewangan, ringgit ditutup pada RM4.1430/1480 berbanding dolar AS, lebih tinggi daripada penutupan semalam, RM4.1450/1480.

 

Menurut Reuters, ketidaktentuan mengenai pelan Biden itu akan terus meningkatkan hasil perbendaharaan 10 tahun AS daripada melonjak lebih tinggi manakala dolar AS disokong oleh prospek pertumbuhan AS. 

 

Situasi ini memberi kesan kepada mata wang baharu muncul di Asia yang diniagakan mendatar dan sedikit rendah. - DagangNews.com