Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 23 April - Pasaran tempatan memulakan dagangan dengan prestasi yang sedikit terjejas apabila susut 0.45 mata.
Penyusutan tersebut menjadikan paras pembukaan indeks penanda aras pasaran utama di Bursa Malaysia, FBM KLCI berada pada paras 1,607.28 mata.
Tidak cukup sekadar itu, trend penurunan tersebut terus berlaku selepas empat minit dibuka iaitu pada pukul 9.19 pagi.
Setakat 9.19 pagi, KLCI terus menurun 0.96 mata kepada 1,606.77 mata.
Keseluruhan pasaran juga dilihat negatif apabila kaunter rugi mengatasi untung pada 211 berbanding 180, manakala 328 kaunter lagi tidak berubah.
Mengakhiri dagangan semalam, pasaran tempatan dilihat berjaya melepasi paras 1,600 mata apabila ditutup pada 1,607.73 mata.
Rakuten Trade Research memberitahu, prestasi baik KLCI semalam dikaitkan dengan pembelian di kaunter sarung tangan getah.
Peningkatan 11.15 mata dalam pasaran tempatan itu didorong oleh kaunter yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan seperti HARTA, Top Glove dan IHH.
Selain Malaysia, saham Asia juga ditutup tinggi termasuk Indeks Nikkei 225 yang meningkat 2.38% kepada 29,188.2 dan Hong Kong’s Hang Seng Index yang meningkat 0.47% kepada 28,755.3 mata.
Dalam dagangan hari ini pula, Rakuten Trade Research memberitahu, pihaknya menjangkakan pasaran tempatan lebih cenderung menurun.
Jelas nota kajian itu, ia kerana KLCI dilihat kekurangan pemangkin.
"Indeks FBM KLCI dijangka berlegar sekitar paras 1,605 hingga 1,610 mata," jelas Rakuten Trade Research. - DagangNews.com