Pasaran tempatan terima tempias situasi di Turki | DagangNews Skip to main content

Pasaran tempatan terima tempias situasi di Turki

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Mac - Pasaran tempatan petang ini ditutup lemah, dengan pasaran serantau lain berdepan mod bercampur-campur yang turut dipengaruhi penurunan mata wang lira.

 

Indeks utama FBM KLCI susut 9.46 mata kepada 1,616.73 mata setelah diheret turun kaunter syarikat-syarikat yang terkesan dengan keadaan di Turki.

 

Jumlah dagangan sebanyak 7.57 bilion saham diniagakan bernilai RM3.99 bilion. 

 

Keseluruhan pasaran juga negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung pada 744 berbanding 392 manakala 422 kaunter tidak berubah.

 

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, pasaran tempatan dan serantau menunjukkan prestasi berbeza di tengah-tengah kelemahan harga minyak mentah ekoran kebimbangan permintaan bahan api akan kembali menurun disebabkan langkah sekatan terbaharu di Eropah. 

 

"Keadaan ini ditambah lagi dengan nilai mata wang lira Turki jatuh menjunam selepas ketua bank pusat negara itu digantikan," katanya kepada DagangNews.com hari ini. 

 

Dalam kalangan indeks FBM KLCI, Sime Darby merekodkan kerugian paling tinggi sebanyak 5.2% dalam dagangan petang ini.

 

IHH Healthcare juga susut 3.1% memandangkan peneraju perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta di Turki, Achibadem Holdings menyumbang sekitar 25% kepada perolehan IHH Group pada 2020, jelasnya. 

 

Menurut Adam, penyusutan lira boleh memberi kesan ketara dari segi pendapatannya.

 

"Dari segi sektor, indeks logistik dan pengangkutan ditutup rendah 1.9% ekoran Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) terkesan dengan lira menerusi pemilikannya dalam Lapangan Terbang Istanbul Sabiha Gokcen. 

 

"Lapangan terbang ini menyumbang sekitar 20 hingga 30% kepada perolehan MAHB tahun lalu," katanya. 

 

Dalam pada itu, lapor Reuters, kebanyakan mata wang baharu muncul Asia diniagakan rendah akibat penurunan lira ekoran tindakan Presiden Turki, Tayyip Erdogan memecat gabenor bank pusat negara itu.

 

Petang ini, ringgit ditutup kepada RM4.1100/1140, berbanding dolar AS, lebih rendah daripada penutupan Jumaat, RM4.1050/1100. 

 

Dalam nota kajian hari ini, Kenanga Research menjangkakan ringgit akan berterusan diniagakan dalam trend sebaliknya dengan risiko penurunan minggu ini. 

 

"Ini memandangkan hasil bon AS akan terus bergerak tinggi dan mendorong kenaiakn risiko aset. 

 

"Pada masa sama, pergerakan unit mata wang tempatan akan dipengaruhi oleh harga minyak mentah, hasil mesyuarat People Bank of China dan ucapan pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome Powell (hari ini)," katanya. 

 

Di sebalik kenaikan dolar AS, ringgit mengukuh sekitar 0.2% kepada RM4.110 bagi minggu berakhir 19 Mac, berbanding RM4.119 minggu sebelumnya. - DagangNews.com