Pasaran tutup: Mtronic pula jadi tumpuan, CFM paling rugi  | DagangNews Skip to main content

Pasaran tutup: Mtronic pula jadi tumpuan, CFM paling rugi 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 7 Julai - Pasaran saham tempatan ditutup hampir tidak berubah, 1.48 mata lebih rendah kepada paras 1,530.15 yang diheret turun oleh kaunter utiliti serta tenaga. 

 

Dalam kalangan kaunter paling aktif diniagakan, saham Metronic Global Berhad (Mtronic) telah mencuri tumpuan pelabur sehingga pasaran ditutup petang ini. 

 

Namun, ini merupakan tumpuan negatif apabila saham Mtronic merosot 27.27% atau 0.015 sen kepada 0.040 sen. 

 

Kedudukan Mtronic diikuti oleh saham Serba Dinamik Holdings Berhad yang turut merasai impak negatif apabila menyusut 5.88% atau 0.030 sen kepada 0.480 sen. 

 

Menariknya, saham Boustead Holdings Berhad turut ‘tersenarai’ dalam tumpuan pelabur apabila wujud ura-ura kumpulan sedang mempertimbangkan beberapa langkah korporat ke atas anak syarikat perladangan sawit tersenarainya, termasuk penjualan.

 

Beralih kepada kaunter rugi, saham Computer Forms (Malaysia) Berhad ‘mengungguli’ kaunter berkenaan, menyusut 9.15% atau 0.400 sen kepada RM3.97.

 

Ini diikuti oleh saham-saham Heineken Malaysia Berhad, British American Tobacco (Malaysia) Berhad dan Dataprep Holdings Berhad.

 

Setelah mendahului kaunter rugi ketika ditutup petang semalam, Nestle (Malaysia) Berhad berjaya mempertahankan kedudukannya untuk terus berada dalam kaunter untung pada petang ini.

 

Saham syarikat makanan dan minuman itu ditutup 0.600 sen lebih tinggi kepada RM133.60.

 

Mendahului kaunter itu adalah saham Genetec Technology Berhad yang menokok RM2.56 kepada RM17.98, diikuti oleh Malaysian Pacific Industries Berhad di mana nilai sahamnya meningkat 0.88 sen kepada RM39.90.

 

Secara keseluruhannya, dagangan pada petang ini berakhir agak negatif apabila sebanyak 568 kaunter rugi mengatasi kaunter untung, berjumlah 383 kaunter. - DagangNews.com