Pasukan Hyperrich tiada masalah tutup aurat ketika sertai futsal anjuran YADIM | DagangNews Skip to main content

Pasukan Hyperrich tiada masalah tutup aurat ketika sertai futsal anjuran YADIM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Dis - Kapten pasukan futsal Hyperrich, Naavin Krishnan memberitahu, bukan sesuatu yang sukar untuk menutup aurat seperti yang dituntut mengikut syariat Islam ketika bersukan.

 

Hyperrich, merupakan satu-satunya pasukan bukan Muslim yang menyertai kejohanan Futsal Piala Menteri sempena Bulan Dakwah 2.0 Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

 

Beliau berkata, mereka dimaklumkan bahawa perlu menutup aurat sekiranya ingin menyertai pertandingan itu.

 

Katanya, syarat-syarat pertandingan dianjurkan YADIM itu sebenarnya mempromosikan keharmonian antara kaum di negara ini, apabila ia menyelitkan unsur bertolak ansur antara satu sama lain.

 

"Apabila diberitahu untuk sertai kejohanan ini perlu tutup aurat, kami tiada masalah.

 

"Kami juga faham peserta Muslim perlu berhenti untuk tunaikan solat, ini juga kesempatan untuk yang lain berehat, ia baik untuk semua.

 

INDIA
 Naavin Krishnan

 

"Kami sebenarnya rancang untuk hantar pasukan veteran juga, namun atas beberapa sebab mereka tak dapat sertai pada saat akhir," katanya.

 

Dalam pertandingan itu, mereka berjaya menjadi juara selepas menewaskan Junior FT dari Gombak, 4-3 di perlawanan akhir menerusi sepakan penalti.

 

Kejohanan futsal pertama kali seumpamanya ini disertai 23 pasukan dari seluruh negara termasuk agensi kerajaan, institusi tahfiz dan sebagainya.

 

Selain futsal, turut dianjurkan ialah acara memanah dan bowling sebelum ini. - DagangNews.com