Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 9 Dis - Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) berjumlah RM106 juta bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 2022 (Q3FY22), meningkat 21% suku ke suku (QoQ).
Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi berkata, syarikat turut mencatatkan keuntungan sederhana pada kadar RM1.02 bilion manakala perbelanjaan pengiklanan (ADEX) bagi Q3FY22 berjumlah RM94 juta.
"Keputusan kewangan Q3FY22 kekal berdaya tahan walaupun dalam fasa penutupan atau ‘lockdown’.
"Astro terus menjana pendapatan tunai, mampu mengawal kos kewangan secara berdisiplin dan sentiasa proaktif dari aspek pengurusan modal syarikat.
"Justeru, pihak Lembaga Pengarah dengan ini mengumumkan dividen interim ketiga bernilai 1.5 sen sesaham," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan, berkata strategi pengagregatan yang dilaksanakan Astro memperlihatkan keberkesanan dengan lebih 500 ribu kediaman telah dilengkapi dengan Ultra dan Ulti Box, termasuklah versi Plug & Play yang boleh dipasang sendiri dan berfungsi sepenuhnya dengan perkhidmatan jalur lebar.
Ujarnya, Astro GO turut merekodkan sejumlah 1juta pengguna aktif pada setiap bulan dengan purata tontonan selama 4.2 jam pada setiap minggu manakala jumlah video On Demand yang distrim melonjak sebanyak 189% kepada 387 juta.
"Pada sembilan bulan pertama untuk tahun kewangan berakhir 2022 (9MFY22), pangkalan jalur lebar kami meningkat sebanyak 83% dari tahun ke tahun (YoY) disumbangkan oleh pelanggan melanggan pakej kandungan yang digabungkan bersama perkhidmatan jalur lebar untuk mendapat lebih nilai dan memudahkan urusan masing-masing," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, menerusi pelancaran 60 stesen radio di atas talian, SYOK terus mengukuhkan kedudukannya di platform digital khususnya di arena audio, dan inisiatif memperkenalkan segmen ‘podcast’ menampakkan kejayaan apabila jumlah didengari meningkat sebanyak 27% YoY kepada 761,000.
"Jenama Astro Radio terus berada di kedudukan No. 1 merentasi kesemua bahasa, menjangkaui 17.2 juta pendengar radio pada setiap minggu (FM dan digital), manakala jenama digital Astro mendaftarkan lebih dari 14.7 juta pengunjung unik pada setiap bulan.-DagangNews.com