Pawagam Malaysia ditutup sementara bermula November 2020 | DagangNews Skip to main content

Pawagam Malaysia ditutup sementara bermula November 2020

 

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Bermula November 2020, semua pawagam di seluruh akan menggantung tayangan filem dan/atau operasi konsesi di lokasi mereka.

Dalam masa sama,  Persatuan Pamamer Filem Malaysia (MAFE) akan meneruskan untuk memantau situasi berkenaan dan bertindak balas dengan sewajarnya apabila keadaan pasaran bertambah baik.

MAFE berkata, penutupan sementara itu dibuat selepas mencapai keputusan bersama oleh industri seiring pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sesetengah negeri di Malaysia, yang memerlukan penutupan pawagam. 

Sejak penularan COVID-19, industri pawagam Malaysia terjejas teruk dengan kerugian tinggi ekoran penurunan pelanggan sehingga 90% berbanding tahun lalu selain perlu melabur tinggi dalam aspek keselamatan dan pematuhan prosedur operasi standard ketika ini. 

Naib Presiden MAFE, Cheah Chun Wai berkata, penutupan dan pembukaan semula pawagam sangat membebankan, mahal dan mengganggu bukan sahaja terhadap pawagam malah pemilik premis dan pelanggan.

Tambah MAFE, pemain industri pawagam di Malaysia telah memohon bantuan daripada pihak kerajaan dan sokongan sewa memandangkan mereka masih lagi bergelut untuk terus bertahan dan pulih daripada krisis global itu. 

Jelas persatuan berkenaan, tempoh bulan-bulan yang mendatang penting bagi memastikan kelangsungan industri pawagam di negara ini.

Bagaimanapun, pihak industri tetap yakin kehadiran pengunjung ke pawagam akan melonjak semula pasca COVID-19 memandangkan tontonan filem kekal sebagai pilihan hiburan utama dalam kalangan rakyat Malaysia. - DagangNews.com