PBB buka 50 panggung wayang GSC baharu di Bintulu, Johor, Kuala Lumpur, Putrajaya | DagangNews Skip to main content

PBB buka 50 panggung wayang GSC baharu di Bintulu, Johor, Kuala Lumpur, Putrajaya

GSC turut menyasarkan untuk memperkenalkan panggung wayang baharu di Bintulu, Johor, Kuala Lumpur dan Putrajaya

KUALA LUMPUR 15 April - PPB Group Bhd (PPB), pemilik  Golden Screen Cinemas Sdn Bhd (GSC) optimis langkah-langkah menamatkan sekatan pergerakan dan kelonggaran sosial serta tayangan rangkaian filem ‘blockbuster’ yang mendapat sambutan hangat, mampu memacu jumlah pengunjung panggung wayang.

 

Dalam Laporan Tahunan 2021 kumpulan kepada Bursa Malaysia, PPB turut menjangkakan segmen pameran dan pengedaran filemnya juga berupaya meraih prestasi kewangan lebih baik bagi tahun ke tahun, seiring dengan peningkatan momentum pemulihan ekonomi pada tahun ini.

 

Pengarah Urusan PPB Lim Soon Huat berkata kumpulan itu telah menggariskan beberapa rancangan pembangunan bagi tahun ini seperti program ganjaran ‘GSC Rewards’ bagi memacu jumlah kehadiran di pawagam selain mengekalkan dan menarik pengunjung baharu sambil meningkatkan lagi kesetiaan pelanggan.

 

“Kami melancarkan lapan ruang panggung wayang besar bagi memberikan pengalaman menarik serta membuka sekurang-kurangnya dua premis Happy Food Co
tahun ini.

 

“GSC turut menyasarkan untuk memperkenalkan panggung wayang baharu di Bintulu, Johor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang melibatkan sejumlah 50 skrin baharu,”
katanya, Bernama melaporkan.

 

Pada September 2021, GSC menyelesaikan pengambilalihan 18 aset pawagam daripada MCAT Box Office Sdn Bhd dan Reel Entertainment Holdings Sdn Bhd yang meningkatkan bahagian pasaran domestiknya kepada lebih 50 peratus.

 

Kumpulan PPB terbabit dalam pelbagai perniagaan seperti perniagaan pertanian, produk pengguna, pembangunan hartanah, kejuruteraan alam sekitar dan utiliti.


 

pbb

 


Lim berkata kumpulan itu turut optimis terhadap kemampuan segmen utiliti untuk mencatat pemulihan lebih stabil pada 2022 susulan kelonggaran sekatan sosial dan pemulihan pasaran.

 

“Kami kini layak untuk menyertai tender-tender kerajaan sebagai kontraktor utama bagi projek air dan kumbahan manakala pasaran turut mengiktiraf kami sebagai kontraktor infrastruktur yang berkebolehan, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk kumpulan.

 

“Anak syarikat kumpulan, Chemquest Sdn Bhd (CQ) telah membida bagi projek-projek air di Malaysia dan Brunei bernilai RM400 juta dan akan terus menumpukan peluang dalam projek air, kumbahan serta infrastruktur,” katanya.


 

 PPB Lim Soon Huat
                        Lim Soon Huat

 


Pada tahun lepas, CQ berjaya menyiapkan dua loji rawatan air di Johor dan Sarawak bernilai RM87 juta dan memperoleh tiga projek air di Sarawak, Johor dan Kedah bernilai RM212 juta yang menjadikan nilai perolehan kontraknya kepada RM360 juta setakat 31 Dis, 2021.

 

Bagi segmen pelaburan hartanah dan pembangunan hartanah, PPB berkata pembangunan kediaman Megah Rise kini hampir siap menjelang suku kedua 2022 dan
menumpukan kepada pembukaan gedung beli-belah itu yang dijadualkan pada suku keempat 2022.

 

“Pihak pengurusan sedang meneliti potensi projek pembangunan baharu di Pulau Pinang dan Bedong, Kedah,” katanya.

 

Bagi segmen bijirin dan perniagaan tani, PPB menjangkakan tekanan margin akan terus wujud berikutan ketidaktentuan pasaran harga komoditi dan kos penghantaran yang tinggi pada 2022.

 

Menurutnya, segmen tersebut mencatat penurunan akibat kos bahan mentah yang tinggi serta tidak dijangka akibat kejutan bekalan global dan gangguan rangkaian bekalan.

 

“Kami komited untuk mengoptimumkan kecekapan operasi menerusi pengalaman pemerolehan bijirin yang meluas serta kecekapan teknikal bagi mengurangkan kesan kenaikan kos bahan api serta kos operasi,” katanya. - DagangNews.com