PCCS Group catat rugi bersih RM1.38 juta bagi 9MFY24 kesan daripada kos operasi yang tinggi | DagangNews Skip to main content

PCCS Group catat rugi bersih RM1.38 juta bagi 9MFY24 kesan daripada kos operasi yang tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Feb - PCCS Group Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM1.38 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2023 (9MFY24) berbanding untung bersih RM12.89 juta bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya kesan daripada kos operasi yang tinggi.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil mereka bagi tempoh itu juga menyusut kepada RM267.5 juta berbanding RM340.5 juta bagi 9MFY23. 

 

Bagaimanapun, bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2023 (3QFY24), kumpulan itu mencatatkan untung bersih sebanyak RM1.44 juta berbanding kerugian bersih RM7.62 juta dalam tempoh sama pada tahun lalu didorong hasil yang lebih tinggi sebanyak RM85.1 juta berbanding RM67.19 pada 3QFY23.

 

"Kerugian itu disebabkan oleh hasil yang lebih rendah dalam bahagian pakaian digabungkan dengan kos operasi yang lebih tinggi.

 

"Tambahan pula, adalah penting untuk mempertimbangkan bahawa keuntungan tahun sebelumnya merangkumi RM6.2 juta daripada pelupusan anak syarikat Mega Label (Malaysia) Sdn Bhd dan Mega Label (Pulau Pinang) Sdn Bhd," katanya.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu dijangka berdepan pelbagai cabaran yang akan menganggu prestasi merangkumi perang perdagangan antara China-Amerika Syarikat (AS) dan konflik geopolitik di Asia Barat yang memberi kesan kepada rantaian bekalan global.

 

Katanya, saingan sengit daripada pemain industri sedia ada dan baharu muncul merentasi pelbagai pasaran seterusnya menimbulkan cabaran tambahan untuk mengekalkan daya saing.

 

"Bagi menangani cabaran ini, pelaburan yang berterusan dalam penyelidikan dan pembangunan serta usaha pemasaran dan penjenamaan akan menjadi penting.

 

"Perniagaan pembiayaan kredit menunjukkan pertumbuhan dan kestabilan yang memberangsangkan kepada kumpulan," katanya. 

 

Kumpulan itu berkata, dengan mengekalkan fokus kepada nilai teras dan menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran yang berkembang, mereka yakin meraih kejayaan bagi jangka masa panjang dalam landskap perniagaan yang dinamik. - DagangNews.com