PCCS jangka segmen perniagaan sewa beli menyumbang secara positif tahun ini | DagangNews Skip to main content

PCCS jangka segmen perniagaan sewa beli menyumbang secara positif tahun ini

Pengarah Urusan Kumpulan, David Chan Wee Kiang
 

 

KUALA LUMPUR 28 Sept. - PCCS Group Bhd. menjangkakan segmen perniagaan sewa beli yang bermula bulan ini dengan jumlah pinjaman RM5 juta akan menyumbang secara positif kepada kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022.

 

Pengarah Urusan Kumpulan PCCS, David Chan Wee Kiang yakin pembukaan ekonomi yang mana perniagaan sewa beli menerusi Southern Auto Capital Sdn. Bhd. beroperasi di Melaka dan Johor akan meningkatkan lagi sumbangan segmen ini kepada kumpulan. 

 

Katanya, pandemik COVID-19 menyaksikan penjualan kereta terpakai semakin meningkat dan pengguna menjadi sensitif terhadap kos kenderaan ketika menghadapi kemerosotan ekonomi.  

 

"Malah, terdapat permintaan terpendam (pent-up demand) dalam pasaran kereta terpakai. Kami berharap dalam mengagihkan pinjaman sebanyak RM1 juta setiap bulan bermula September ini," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Pada 19 April lalu, PCCS memeterai usaha sama dengan Justin See Kok Wah untuk membentuk Southern Auto Capital. 

 

Usaha sama ini bertujuan menubuhkan dan menjalankan operasi berkaitan pembiayaan kenderaan dan perniagaan insurans di Melaka dan Johor.

 

PCCS melabur sebanyak RM4 juta dengan memiliki 80% pegangan dalam usaha sama ini manakala Kok Wah pula memiliki pegangan selebihnya dengan modal RM1 juta. Ini menjadikan Southern Auto Capital adalah anak syarikat milik penuh PCCS.

 

Wee Kiang menyasarkan untuk meningkatkan lebih daripada dua kali ganda jumlah pinjaman sewa beli dalam tahun kewangan akan datang sekiranya tiada sebarang perkara tidak diingi terutama sekatan pergerakan dan ekonomi pula kembali normal. 

 

Dalam pada itu, PCCS turut mengumumkan laporan kewangan bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2021 yang menyaksikan untung bersihnya melonjak 21.7% kepada RM1.97 juta manakala perolehan turut meningkat 9.22% kepada RM114.5 juta. 

 

Mengenai perniagaan bagi segmen peralatan perubatan, beliau berkata, kumpulan kini sedang memohon pendaftaran peralatan perubatan dengan pihak berkuasa seperti Vietnam, Indonesia, Thailand, Malaysia dan Singapura. 

 

"Kami yakin dapat memuktamadkan proses pendaftaran ini sekurang-kurangnya di salah satu negara sebelum akhir tahun kewangan 31 Mac 2022," katanya.  - DagangNews.com