IPOH 22 Jun - Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH) menganjurkan pemeriksaan kesihatan percuma sempena Hari Bapa 2023 di pusat beli-belah AEON Klebang di sini.
Dengan tema 'Sebarkan Kasih Sayang, Hadiahkan Kesihatan kepada Orang Tersayang', program kemasyarakatan itu juga sebagai tanda penghargaan kepada golongan tersebut.
Lebih 250 peserta mendaftar bagi saringan kesihatan asas yang disediakan termasuk pemeriksaan tekanan darah, gula dalam darah dan ujian kanser prostat.
Turut diadakan ialah ujian smokerlizer (untuk perokok), hepatitis B&C, saringan kanser kolorektal, pemeriksaan telinga, urutan titik bahu, penilaian lemak badan, pemeriksaan mata, kaunseling dietetik dan sesi rundingan oleh pegawai perubatan.
Selain itu, PCSH dengan kerjasama Nathan Road Hair Studio turut menawarkan khidmat menggunting rambut percuma khas kepada bapa yang hadir bermula dari 10.30 pagi hingga 2 petang.
Ketua Pegawai Eksekutif PCSH, Nicholas Chan berkata, pemeriksaan kesihatan percuma yang diadakan itu sebagai salah satu program kemasyarakatan pihaknya.
"Bapa menjadi tunggak utama dan sangat penting dalam menyokong kesejahteraan anak-anak dan keluarga mereka.
"Kami percaya program ini meningkatkan kesedaran tentang kepentingan gaya hidup sihat dan sebagai peringatan tentang keperluan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi mengekalkan kesihatan yang baik," ujarnya.
Pihaknya juga mengucapkan terima atas penglibatan rakan strategik seperti AEON Mall Klebang, National Cancer Society Malaysia (NCSM), Nathan Road Hair Studio, EarMed, Melilea dan Lee Eye Centre Sdn. Bhd. - DagangNews.com