PDRM: 5,389 kes penipuan pelaburan direkodkan pada 2023, mangsa warga emas meningkat 213% | DagangNews Skip to main content

PDRM: 5,389 kes penipuan pelaburan direkodkan pada 2023, mangsa warga emas meningkat 213%

Rekod PDRM pada 2023 menunjukkan 744 individu atau 13% mangsa penipuan pelaburan adalah mereka yang berumur 60 tahun ke atas. /Gambar Towfiqu Barbhuiya
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 26 Jan - Sebanyak 5,389 kes penipuan pelaburan dicatatkan sepanjang tahun 2023 melibatkan nilai kerugian mencecah RM472 juta. 

 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan rekod 2023, 744 individu atau 13% mangsa penipuan pelaburan adalah mereka yang berumur 60 tahun ke atas. 

 

"Jumlah ini merupakan peningkatan 213% berbanding tahun 2022 yang hanya mencatatkan jumlah 237 individu daripada kumpulan umur yang sama. 

 

"Peningkatan mendadak ini menunjukkan ada sindiket yang cuba memancing mereka sehingga terjerumus menjadi mangsa penipuan," katanya dalam hantaran di Facebook JSJK Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.

 

jsjk1
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

 

Justeru, Ramli meningatkan mereka yang berada dalam lingkungan usia 60 tahun ke atas untuk lebih berhati-hati semasa menggunakan media sosial. 

 

Katanya, apatah lagi media sosial merupakan medium komunikasi yang sarat dengan pelbagai kandungan termasuk maklumat palsu. 

 

"Lakukan semakan yang terperinci sebelum mempercayai sebarang tawaran atau iklan yang dipaparkan," jelasnya.

 

Sementara itu, Ramli yang mengadakan sidang media pada hari ini memaklumkan sejumlah 4,170 operasi telah dilaksanakan sepanjang tahun 2023 khusus untuk menumpaskan sindiket pelaburan. 

 

Katanya, daripada keseluruhan operasi tersebut, seramai 3,409 individu telah berjaya ditahan.

 

"Penipuan pelaburan merupakan antara kategori kes yang sentiasa mencatatkan nilai kerugian yang tertinggi. 

 

"Malahan, nilai kerugian bagi kes penipuan pelaburan yang dilaporkan pada tahun 2023 adalah bersamaan 38.7% daripada nilai kerugian keseluruhan tahun tersebut," katanya.

 

Menurut beliau, hal sama turut direkodkan bagi tempoh 1 hingga 15 Januari tahun 2024 bila mana nilai kerugian yang dicatatkan bagi kes penipuan pelaburan telah mencecah RM44 juta.

 

"Jumlah ini bersamaan 47.7% dari nilai kerugian keseluruhan kes jenayah komersial semasa tahun 2024," ujarnya.- DagangNews.com