PDRM bakal guna teknologi pintar simpan senjata api ciptaan syarikat tempatan SWS Inntech | DagangNews Skip to main content

PDRM bakal guna teknologi pintar simpan senjata api ciptaan syarikat tempatan SWS Inntech

Sistem penyimpanan senjata api pintar yang dibangunkan syarikat SWS Inntech.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 9 Mei - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal beralih kepada teknologi pintar untuk menyimpan senjata api yang membolehkan anggota polis mengambil dan memulangkannya sendiri.

 

Teknologi itu menggunakan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), Internet Pelbagai Benda (IoT) dan biometrik untuk menyimpan dan pengurusan senjata api.

 

Berbanding cara sedia ada, petugas perlu mengisi rekod keluar masuk senjata api ke dalam buku yang ada kalanya mengambil masa lama.

 

Teknologi yang pertama seumpamanya di dunia ini hasil inovasi syarikat tempatan, SWS Inntech Sdn. Bhd. menarik minat PDRM dan perbincangan mengenainya sedang dilakukan.

 

 

Polis
Penyimpanan senjata api seperti pistol perlu dilakukan secara berhati-hati dan selamat.

 

 

Pengarah Teknikal SWS Inntech, Brian Lew berkata, kaedah ini mengoptimumkan penggunaan tenaga kerja bagi sesebuah balai polis selain memiliki tahap keselamatan tinggi.

 

“Selain PDRM kita juga menawarkan teknologi pintar ini kepada lain-lain pasukan keselamatan yang memerlukan penyimpanan senjata api termasuk tentera.

 

“Pertanyaan juga diterima daripada pengguna berpotensi luar negara yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang sistem yang kami bangunkan,” ujarnya.

 

Sistem penyimpanan senjata api pintar ini ada dipamerkan pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024.

 

 

Polis
Contoh rak pintar untuk menyimpan raifal bersama peluru.

 

Menggunakan pengurusan pintar, semua urusan membabitkan mengambil, merekod dan memulangkan senjata api diurus dan dipantau secara sistematik. 

 

Setiap rak simpanan yang berbentuk seperti kabinet fail ini boleh menyimpan sama ada 30 pucuk pistol atau 10 laras raifal.

 

Menurut Brian, apa yang membanggakan teknologi pintar ini menjadi pilihan Pasukan Polis Singapura (SAF) yang telah digunakan sejak setahun lalu.

 

Ini menunjukkan kelengkapan dan perisian yang 100% dibangunkan oleh syarikat tempatan telah mendapat pengiktirafan antarabangsa.

 

Polis

 

 

“SAF memilih sistem penyimpanan senjata api yang dinamakan sebagai Automated Armoury System.

 

“Sebagai pemilik teknologi kami boleh menyediakan sistem tersendiri berdasarkan apa yang diinginkan pengguna,” ujarnya. - DagangNews.com