Wujudkan mekanisme kawal inflasi agar pekerja dapat manfaat penuh kenaikan gaji - Abang Jo | DagangNews Skip to main content

Wujudkan mekanisme kawal inflasi agar pekerja dapat manfaat penuh kenaikan gaji - Abang Jo

KUCHING 20 Mei - Satu mekanisme perlu diwujudkan bagi mengawal inflasi secara efektif untuk memastikan pekerja
memperoleh manfaat sepenuhnya daripada kenaikan gaji, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

 

Beliau berkata sebarang kenaikan gaji untuk pekerja yang diumumkan kerajaan mahupun pihak swasta tidak akan
bermakna sekiranya ia hanya membawa kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan secara mendadak.

 

“Yang penting kalau gaji naik, bermakna penggunaan domestik anda boleh naik. Ia akan merancakkan lagi ekonomi.

 

"Tetapi ancamannya ialah inflasi. Kita tidak mahu naik gaji, tapi dari segi kuasa beli masih sama," kata beliau kepada media selepas menghadiri program mencipta rekod Malaysia Book of Records untuk "Peserta Terbanyak Memakai Pakaian Etnik Dalam Persembahan Tarian Berkoreografi" di sini pada Ahad, Bernama melaporkan.

 

Baru-baru ini Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan akan mengkaji secara menyeluruh cadangan Tabung
Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) agar kadar gaji minimum ditetapkan pada RM2,102 sebulan berbanding RM1,500 ketika ini.

 

Rafizi berkata secara dasarnya jelas bahawa pendekatan kerajaan Madani dalam menangani kos sara hidup adalah memberi tumpuan kepada meningkatkan pendapatan rakyat.

 

Abang Johari berharap kerajaan persekutuan khususnya Bank Negara dan Kementerian Kewangan mengambil kira implikasi peratusan kenaikan gaji kepada aliran wang dalam pasaran.

 

“Dasar ekonomi kita mesti seimbang dan pihak bank hendaklah memberi input kerana sebenarnya inflasi adalah permintaan mengatasi tawaran.

 

"Kalau anda naikkan faedah, aliran wang dalam pasaran akan kurang bermakna mahu tak mahu (bekalan) barang akan menurun," katanya.

 

Beliau berkata kerajaan negeri Sarawak telah menjalankan kajian berhubung kenaikan gaji berdasarkan produktiviti yang memberi penekanan kepada kemahiran dan pembangunan tenaga kerja. - DagangNews.com