KUALA LUMPUR 23 Nov - Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan sekatan jalan raya (SJR) mulai semalam sebagai langkah berjaga-jaga sebarang kemungkinan kekacauan berikutan ketidaktentuan politik selepas PRU15 Sabtu lalu yang masih gagal membentuk kerajaan Persekutuan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah berkata, SJR dilaksanakan di lokasi-lokasi strategik di setiap daerah, di seluruh negara secara penugasan 24 jam.
"Langkah mendirikan SJR ini adalah sebahagian daripada usaha PDRM mencegah jenayah melalui peningkatan tahap omnipresence bagi menjamin tahap keselamatan dan ketenteraman awam.
"Demi keselesaan pengguna jalan raya dan kelancaran lalu lintas, tiada halangan SJR akan dijalankan pada waktu puncak/siang hari. Orang ramai diminta memberikan kerjasama dalam mematuhi arahan yang diberikan ketika melalui SJR, terutamanya di luar waktu puncak," katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, masyarakat tidak perlu bimbang untuk menjalankan aktiviti harian kerana PDRM memberi jaminan bahawa tahap keselamatan adalah terkawal. - DagangNews.com