PDRM, Whoscall tawar 1 juta langganan akaun premium percuma bernilai lebih RM87 juta banteras penipuan dalam talian | DagangNews Skip to main content

PDRM, Whoscall tawar 1 juta langganan akaun premium percuma bernilai lebih RM87 juta banteras penipuan dalam talian

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Dis - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Whoscall mengukuhkan komitmen dengan pemberian 1 juta akaun Whoscall Premium bagi penggunaan selama setahun yang bernilai lebih RM87 juta untuk membantu melindungi rakyat Malaysia daripada penipuan dalam talian.

 

Inisiatif itu sempena penganjuran Karnival Scam Free Malaysia yang bertujuan untuk mewujudkan komuniti bebas penipuan dengan membantu orang ramai mencegah jenayah dalam talian dan panggilan. 

 

Langganan satu tahun Whoscall Premium memberikan pengguna akses kepada pelbagai alat anti-penipuan seperti ID Pemanggil; Sekat Panggilan Spam secara Automatik; Pangkalan Data Kemas Kini secara Automatik termasuk ciri terbaharunya iaitu Panggilan ID WhatsApp dan Pengimbas URL tanpa sebarang iklan.

 

Ketua Pegawai Operasi Gogolook, Manwoo Joo berkata, menurut Laporan Scam Asia 2023 terbaru yang diterbitkan oleh Global Anti-Scam Alliance (GASA) dan Gogolook, ketidakupayaan mangsa untuk mengenalpasti penipuan dalam talian menjadi faktor utama menyumbang kepada risiko ditipu. 

 

Beliau berkata, Malaysia berada di tangga ke-3 terendah antara 11 negara ASEAN lain terhadap keyakinan mengenalpasti penipuan dalam talian. 

 

Katanya, panggilan telefon (82.7%) merupakan saluran utama yang digunakan scammer di Malaysia, diikuti dengan SMS (51.5%) dan aplikasi mesej (42.9%). 

 

"Laporan ini juga menunjukkan pentingnya langkah pencegahan untuk dilakukan dalam waktu sebenar dan Whoscall bersedia untuk menjadi barisan pertahanan pertama dalam mencegah penipuan dalam talian.

 

 

whoscall

 

 

 

"Dilengkapi dengan aplikasi teknologi anti-penipuan yang berkuasa serta mempunyai pangkalan data terbesar di Asia Timur dan Asia Tenggara dengan 2.6 billion entri nombor dan lebih 100 juta muat turun.

 

"Maka dengan itu, pemberian percuma 1 juta Whoscall Premium ini akan dapat membantu melindungi 1 juta rakyat Malaysia daripada scammers secara proaktif," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Katanya, dengan pengkongsian data dari portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM, pihaknya dapat menambah penandaan PDRM pada panggilan yang tidak diketahui di bawah ‘Scammer (disahkan oleh PDRM)’. 

 

 

whoscall

 

 

Katanya, kaedah itu terbukti sangat berjaya dalam menghalang rakyat Malaysia daripada menerima panggilan penipuan. 

 

"Data yang dikumpul selama 11 bulan menunjukkan bahawa kadar menjawab panggilan penipuan dalam talian menurun sebanyak 50% antara Januari hingga ke November 2023. 

 

"Pencapaian lain dalam tempoh yang sama, 41% nombor penipuan dalam talian yang disediakan portal JSJK PDRM telah disekat oleh pengguna Whoscall. Kami sangat gembira dengan hasilnya dan akan terus menyokong JSJK PDRM dalam melindungi rakyat Malaysia dari scammers dan semua aktiviti penipuan," katanya.

 

Orang ramai boleh menebus Whoscall Premium untuk penggunaan selama setahun secara percuma sebelum 31 Mac 2024 di http://redeem.whoscall.com/ dan gunakan kod promo “PDRMLawanScams”.  - DagangNews.com