Pecca masih menunggu kelulusan cadangan ambil alih pegangan dalam Rentas | DagangNews Skip to main content

Pecca masih menunggu kelulusan cadangan ambil alih pegangan dalam Rentas

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'jual' ke atas saham Pecca Group Bhd. dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2 sesaham. 

 

Firma ini melihat Pecca akan terus menikmati kelebihan daripada permintaan kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dalam tempoh terdekat dipacu pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) hingga akhir tahun ini. 

 

Selain itu, penglibatannya dalam pengeluaran produk peralatan perlindungan diri (PPE) juga akan menyumbang secara positif kepada kumpulan bagi tahun kewangan 2022. 

 

"Bagi meningkatkan penyertaannya dalam segmen PPE ini, kumpulan juga bercadang mengambil alih 51% dalam Rentas Health dengan nilai RM100 juta. 

 

"Bagaimanapun, buat masa ini, cadangan pengambilalihan ini menunggu kelulusan pemegang saham minoriti," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Secara dasarnya, pengambilalihan itu akan dilaksanakan secara tunai sebanyak RM50 juta dan 12 juta saham baru dalam pecca berdasarkan RM4.17 sesaham. 

 

Menurut HLIB, di sebalik harga saham yang jatuh di bawah RM3 sesaham, hingga kini masih belum ada sebarang perkembangan terkini daripada lembaga pengarah sama ada terdapat perubahan kepada cadangan pengambilalihan berkenaan. 

 

"Pada masa sama, kumpulan juga tidak menjangkakan langkah kerajaan menetapkan harga siling bagi kit ujian air liur COVID-19 memberi kesan terhadap kit ujian RT-PCR Rentas sedia ada," katanya. 

 

Bagaimanapun, firma itu melihat persaingan dalam ruang PPE semakin sengit, terutama apabila situasi pandemik berubah kepada endemik. 

 

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021, untung bersih Pecca meningkat 2 kali ganda kepada RM19.23 juta manakala pendapatan suku keempat merosot kepada hanya RM26,000 daripada RM8.05 juta pada suku ketiga. 

 

Perolehan pada suku keempat juga menyusut 30.26% kepada RM29.64 juta berbanding RM42.5 juta disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula 1 Jun lalu. 

 

Untuk keseluruhan tahun kewangan, untung bersih Pecca meningkat kepada RM19.23 juta daripada RM8.39 juta pada tahun kewangan 2020 manakal perolehan juga meningkat 38.33% kepada RM144.75 juta berbanding RM104.64 juta. 

 

Setakat 10.35 pagi ini, saham Pecca menokok 3 sen kepada RM2.95 dengan 203,200 saham diniagakan. - DagangNews.com