Harn Len lupus tanah 0.92 hektar di Johor pada harga RM55 juta bagi membiayai perbelanjaan modal | DagangNews Skip to main content

Harn Len lupus tanah 0.92 hektar di Johor pada harga RM55 juta bagi membiayai perbelanjaan modal

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Sept - Harn Len Corporation Bhd menerusi Midwest Equity Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli (SPA) bagi melupuskan tanah seluas 0.92 hektar di Johor Bahru pada harga RM55 juta.

 

Kumpulan itu berkata, ketika ini tanah tersebut masih kosong dan sedang digunakan sebagai tempat letak kenderaan awam dengan sewa bulanan RM11,000.

 

Katanya, cadangan pelupusan itu memberi peluang kepada kumpulan untuk merealisasikan nilai tanah yang mewakili sebahagian daripada aset bukan terasnya selain menyediakan aliran tunai lebihan daripada penjualan itu.

 

"Kumpulan itu bercadang menggunakan RM29.4 juta daripada hasil itu untuk membiayai perbelanjaan modal yang boleh menyumbang secara positif ke arah prestasi kewangan mereka.

 

"Ketersediaan lebihan aliran tunai membolehkan Harn Len mengesahkan komitmennya untuk mengembangkan perniagaannya dalam segmen keselamatan makanan.

 

"Setelah selesai cadangan pelupusan, kumpulan itu akan merekodkan keuntungan bersih atas pelupusan tanah itu kira-kira RM33.6 juta," katanya.

 

Kadar penggearan kumpulan akan berkurangan kepada 0.13x daripada 0.15 berdasarkan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tempoh kewangan 17 bulan berakhir 31 Mei 2023.

 

Cadangan pelupusan bagaimanapun tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham syarikat. - DagangNews.com