Universiti Heriot-Watt Malaysia lantik tiga pegawai institusi, tingkatkan kecemerlangan akademik bertaraf global | DagangNews Skip to main content

Universiti Heriot-Watt Malaysia lantik tiga pegawai institusi, tingkatkan kecemerlangan akademik bertaraf global

Universiti Heriot Watt Malaysia, Kampus Putrajaya - Gambar hiasan dari Facebook rasmi universiti
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Sept - Universiti Heriot-Watt Malaysia mengumumkan pelantikan beberapa pegawai dalam institusi itu menyasar untuk meningkatkan kecemerlangan akademik dan inovasi bertaraf global. 

 

Pelantikan itu selaras dengan Strategi Universiti 2035 yang memanfaatkan warisan, kepakaran dan capaian globalnya. 

 

Universiti itu melantik Professor Dr Lai Yin Ling sebagai Timbalan Provos yang membawa pengalaman luas dalam pembangunan perniagaan, pengurusan kualiti dan reka bentuk kurikulum.

 

hwu
Timbalan Provos Heriot-Watt Malaysia, Profesor Dr Lai Yin Ling

 

Sebagai Ahli Pengasas Persatuan Pendidikan Kejuruteraan Asia, beliau telah memajukan pendidikan kejuruteraan global.

 

Yin Ling berkata, dengan menerusi jawatan itu, beliau akan memacu inovasi dan menumpukan kepada program akademik. 

 

"Saya berharap untuk menerajui strategi globalisasi universiti, membangunkan program transnasional dan mewujudkan perkongsian strategik untuk meningkatkan kehadiran antarabangsa universiti dan memperkayakan pengalaman pelajar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Selain itu, Alex Lim dilantik sebagai Pengarah Serantau, Pengambilan Pemasaran, Kemasukan & Komunikasi.

 

Dengan pengalaman hampir 30 tahun, Alex membawa kepakaran pemasaran, penjenamaan dan komunikasi yang ketara daripada industri pengiklanan, perbankan, insurans, pembangunan hartanah, hospitaliti dan teknologi kewangan (fintech).

 

Beliau juga berkhidmat sebagai Ketua Komunikasi Korporat & Pemasaran di sebuah bank terkemuka di Kemboja.

 

hwu
Ketua Pusat Pengajian Sains Sosial di Universiti Heriot-Watt Malaysia, Dr Jimmy Tam

 

Universiti itu juga melantik Bendahari Persatuan Pendidikan Tinggi Malaysia Dasar dan Pembangunan Penyelidikan, Dr Jimmy Tam sebagai Ketua Pusat Pengajian Sains Sosial. 

 

Menerusi peranan baharunya, Jimmy akan menguruskan penyampaian program, pengawasan kakitangan dan sokongan pelajar, memfokuskan pada pembangunan profesional dan pengambilan pekerja.- DagangNews.com