‘Pegang’ dan ‘neutral’ saham F&N - Firma penyelidik | DagangNews Skip to main content

‘Pegang’ dan ‘neutral’ saham F&N - Firma penyelidik

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Nov. - CGS-CIMB Research dan MIDF Research masing-masing meletakkan saranan ‘pegang’ dan ‘neutral’ saham Fraser & Neave Holdings Berhad (F&N). 

“Tiada kejutan dalam pembentangan keputusan kewangan FY6/20, maka kami tidak mengubah ramalan perolehan sesaham tahun kewangan 2021 hingga 2023.

“Kami juga mengekalkan saranan ‘pegang’ saham dengan sasaran harga (TP) kekal RM31.60,” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya.

Disebabkan penularan COVID-19 yang berpanjangan, F&N menjangkakan kedua-dua pasaran tempatan dan eksport masih tidak menentu.

Bagaimanapun, syarikat itu yakin bahawa perniagaannya akan kekal bertahan dan bakal melaksanakan tiga inisiatif strategik iaitu inovasi, persaingan kos dan pelaksanaan perniagaan lebih baik. 

“Kami percaya bahawa syarikat ini akan menyaksikan pemulihan apabila memasuki tahun 2021 bagaimanapun kami mengambil kira penurunan sentimen pengguna dan suasana perayaan yang lebih lemah dalam tempoh masa terdekat, sekali gus menjejaskan jualan.

“Oleh itu, kami mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap saham syarikat itu. Kami tidak mengubah jangkaan perolehan F&N,” kata MIDF dalam nota kajiannya. 

MIDF turut mengekalkan sasaran harga (TP) F&N kepada RM31.48. 

Dalam penerangan prestasi kewangan F&N semalam, syarikat itu yakin jualan eksportnya dijangka terus mengukuh dan berkembang. 

Jualan eksport F&N kini merangkumi 20% daripada jumlah jualan keseluruhan berbanding 17.9% pada 2019.

Eksport syarikat itu meluas sehingga ke 82 buah negara di seluruh dunia dan berhasrat memanfaatkan pejabatnya di Dubai untuk menembusi pasaran serantau di sana. 

“Kami berpendapat perbezaan geografi oleh kumpulan syarikat itu mendatangkan manfaat memandangkan impak jualan akan diimbangi oleh pasaran lain sekiranya terdapat kemerosotan di pasaran utama seperti Malaysia dan Thailand,” tambah MIDF.  - DagangNews.com