Pegangan asing dalam ekuiti Malaysia berkurangan sejak PRU-14 | DagangNews Skip to main content

Pegangan asing dalam ekuiti Malaysia berkurangan sejak PRU-14

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Mac - Pegangan asing dalam ekuiti Malaysia jatuh kepada 20.4% setakat akhir Februari 2021, hanya 0.1% berbanding paras terendah direkodkan pada Mei 2010, iaitu 20.3%. 

 

Menurut CGS-CIMB, trend penurunan ini bermula sejak Mei 2018, atau selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018 apabila Pakatan Harapan meraih majoriti mudah dalam Parlimen, perubahan pertama dalam sejarah pentadbiraan negara. 

 

"Sejak itu, pegangan asing jatuh 3.8% daripada paras puncak 24.2% pada Mei 2018 kepada 20.4% setakat Februari lalu," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Jelasnya, pelabur asing juga merupakan penjual bersih dalam pasaran ekuiti bagi tempoh 19 bulan berturut-turut atau sejak Julai 2019. 

 

Sehingga kini, pelabur asing telah menjual RM1.3 bilion ekuiti Malaysia, tambah firma itu. 

 

Sumber : CGS-CIMB
Sumber : CGS-CIMB

 

 

Bagi minggu berakhir 19 Mac, FBM KLCI menokok 0.6% kepada 1,626 mata, sebahagian besarnya peningkatan dalam sektor penjagaan kesihatan, yang mana mengimbangi kerugian dalam sektor tenaga. 

 

"Jumlah purata dagangan harian meningkat 10% minggu ke minggu kepada 10.9 juta unit manakala nilai purata dagangan harian jatuh 13% minggu ke minggu kepada RM5.4 bilion memandangkan pelabur memberi tumpuan kepada syarikat-syarikat bermodal kecil," katanya. 

 

Pelabur runcit menguasai dagangan minggu lalu sebanyak 37.8% (meningkat 1.5% minggu ke minggu) diikuti pelabur institusi 29.1% (naik 1.4%), hak milik 15.2% (susut 2.9%) dan penama 17.9%.  

 

Menurut firma itu, pelabur runcit merupakan satu-satunya pembeli bersih manakala 4 lagi pelabur adalah penjual bersih bagi minggu tersebut. 

 

"Pelabur runcit membeli RM527 juta ekuiti (meningkat 183% minggu ke minggu), tertinggi tahun ini sejak minggu berakhir 26 Februari. 

 

"Saham utama yang menjadi pilihan pelabur runcit ialah Tenaga, Top Glove dan Widad," katanya.

 

Selepas 2 minggu berturut-turut menjadi pembeli bersih, pelabur asing menjadi penjual bersih RM101 juta ekuiti pada minggu lalu.

 

"Mereka menjadi penjual utama bagi saham berkaitan utiliti, teknologi dan perladangan dengan 3 pilihan saham iaitu Tenaga, DNeX dan Inari manakala saham yang menunjukkan aliran masuk asing tertinggi ialah Supermax, D&O dan Maybank," katanya.

 

Sektor penjagaaan kesihatan paling menunjukkan prestasi terbaik minggu lalu dengan meningkat 1.8% minggu ke minggu diikuti pembinaan dan tenaga masing-masing meningkat 1.1%. 

 

Tetapi, sektor yang mencatat prestasi kurang memuaskan ialah tenaga, susut 4.2% diikuti hartanah (-1.4%) dan utiliti (-0.8%). - DagangNews.com