Pegangan asing dalam ekuiti Malaysia susut ke paras terendah - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Pegangan asing dalam ekuiti Malaysia susut ke paras terendah - Penganalisis

Gambar hiasan oleh Adam Nowakowski
 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Penjualan ekuiti tempatan oleh pelabur asing yang berterusan mendorong pegangan saham mereka menyusut 0.1% kepada paras terendah, 20.2% setakat penghujung Julai 2021. 

 

Menurut CGS-CIMB Research, trend penurunan dalam pegangan asing bermula sejak Mei 2018, terutamanya selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018. 

 

“Sejak itu, paras pegangan asing telah menyusut 4%, daripada paras tertingginya, 24.2% pada Mac 2018 kepada 20.2% pada Julai 2021. 

 

“Pelabur asing juga menjadi penjual bersih pasaran sejak Julai 2019. Sejak awal tahun hingga 13 Ogos 2021, pelabur asing telah menjual bersih RM6.3 bilion nilai ekuiti Malaysia,” jelas firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian.

 

Pada tempoh dagangan minggu lalu, antara 9 hingga 13 Ogos 2021, KLCI melonjak 1% minggu ke minggu dipacu oleh sektor penjagaan kesihatan, pengguna dan perladangan. 

 

Bagaimanapun, purata jumlah dagangan harian jatuh 7% berbanding dua minggu lalu kepada 3.8 unit, diikuti oleh purata nilai dagangan harian yang menyusut 5% kepada RM2.4 bilion.

 

“Pelabur runcit kekal kumpulan pembeli bersih terbesar, namun pembelian bersih mereka jatuh 76% kepada RM79 juta nilai ekuiti. 

 

“Mereka merupakan pembeli bersih terbesar sektor penjagaan kesihatan dan perkhidmatan kewangan. Tiga saham utama yang dibeli oleh pelabur runcit pada minggu lalu adalah DNEX, Public Bank dan KAB.

 

“Pelabur asing pula beralih menjadi pembeli bersih kedua terbesar daripada penjual bersih sebelum ini. Mereka membeli bersih RM14 juta ekuiti tempatan pada minggu lalu daripada penjualan bersih sebanyak RM451 juta nilai ekuiti pada dua minggu lalu,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com